Beberapa bulan lalu, NVIDIA memperlihatkan siri kad grafik terbaru mereka, NVIDIA GeForce RTX yang hadir dengan pelbagai ciri-ciri baru seperti sokongan untuk Ray Tracing pada masa nyata dan Deep Learning Super Sampling (DLSS) yang boleh digunakan untuk membantu meningkatkan mutu permainan komputer.
Baru-baru ini, Linus Tech Tips telah meniriskan bahawa mereka telah menerima kad grafik siri Titan terbaru daripada NVIDIA, iaitu NVIDIA TITAN RTX, yang boleh dikatakan kad grafik paling berkuasa daripada syarikat tersebut.
Butiran khusus mengenai kad grafik ini tidak diketahui lagi, tetapi terdapat kebarangkalian besar bahawa ia masih menggunakan cip pemproses grafik Turing TU102 (4608 teras CUDA, 72 teras Turing) dan akan hadir dengan jumlah memori GDDR6 sebanyak 12GB, berbanding dengan 11GB yang digunakan oleh kad grafik NVIDIA GeForce RTX 2080 Ti.
Satu butiran yang dapat dilihat ialah kad grafik TITAN RTX ini akan mengekalkan skema warna putih dan emas yang digunakan oleh kad grafik NVIDIA TITAN V sebelum ini.
Buat masa ini, kami masih tidak pasti bilakah NVIDIA akan mengumumkan kehadiran kad grafik ini secara rasmi, tetapi besar kemungkinan bahawa kami akan mendengar butiran lanjut mengenainya di acara CES 2019 kelak.