Apabila membeli sebuah komputer ataupun laptop di kedai-kedai komputer, terdapat kebarangkalian besar bahawa untuk mengurangkan kos, mereka akan menggunakan sistem operasi cetak rompak di dalamnya.
Microsoft APAC baru-baru ini menjalankan ops pembelian rambang melalui Asia PC Test Purchase Sweep di beberapa negara di rantau APAC untuk menunjukkan berapa banyak komputer-komputer di kedai yang menggunakan sistem operasi Windows cetak rompak untuk merendahkan harga komputer desktop dan komputer riba mereka untuk melariskan jualan.
Menurut Microsoft, yang membeli 166 buah komputer dari kedai-kedai di sembilan negara, termasuklah India, Indonesia, Korea, Malaysia, Philippines, Singapore, Taiwan, Thailand and Vietnam, dan mendapati bahawa empat di dalam lima, ataupun 83 peratus komputer yang dibeli oleh mereka menggunakan sistem operasi cetak rompak.
Apa yang lebih membimbangkan ialah sistem-sistem operasi ini dipasang dengan ciri keselamatannya ditutup untuk membolehkan perisian godaman kod sistem operasi digunakan.
Bukan itu sahaja, 84 peratus daripada komputer yang menggunakan sistem operasi cetak rompak ini hadir dengan pelbagai jenis perisian hasad yang membahayakan keselamatan atas talian pengguna.
Microsoft menyarankan bahawa pelanggan yang membeli komputer-komputer dan laptop baru untuk memastikan bahawa mereka sekurang-kurangnya tidak dibelenggu perisian hasad apabila membuka komputer mereka buat kali pertama.
Mereka juga menasihati supaya sistem operasi Windows sentiasa dikemaskini supaya komputer mereka selamat daripada ancaman perisian hasad tersebut.