Cari @ Amanz

Ultrabook mula popular selepas kehadiran MacBook Air oleh Apple. Kemudian, komputer riba Windows mula hadir dengan rekaan nipis dan ringan. Ultrabook adalah satu komputer riba yang sesuai digunakan oleh pekerja pejabat yang kerap berjalan atau untuk seorang penulis yang gemar bekerja secara mobil.

Beberapa bulan lepas, Huawei telah lancarkan Huawei Matebook X dan Huawei Matebook D. Ia adalah ultrabook premium dan bajet dari satu jenama yang popular dengan telefon pintar dengan kamera yang hebat. Artikel ini adalah artikel ulasan Huawei Matebook D. Bagaimana prestasi dan pengalaman penggunaan sebuah ultrabook bajet dari syarikat yang terkenal dengan telefon pintar? Baca artikel ini untuk ketahuinya.

Spesifikasi

Huawei Matebook D
Skrin 14-inci FHD
Pemproses Intel Core i5-8250U
RAM 8GB LPDDR3
Muatan Dalaman SSD 256GB
Kamera 1MP
USB USB 3.0 x2, USB-C x1
HDMI Ada
Pembaca Kad Tiada
Kad Grafik Intel UHD Graphics 620
Harga Jualan RM2,999

Huawei Matebook D menggunakan panel IPS bersaiz 14-inci dengan resolusi 1920 x 1080 pixels, 157 (PPI). Ia boleh dibuka sehingga tahap 180 darjah iaitu rata di permukaan. Bingkai skrin juga adalah nipis dan sedap mata memandang. Resolusi HD penuhnya juga terang dan cukup memuaskan.

Di bahagian bingkai atas terdapat kamera web 1 megapixel. Jika dibanding dengan Matebook X, bingkainya lebih nipis kerana kamera webnya disorok di bahagian papan kekunci. Masalah skrin lentur pada Matebook D boleh dikatakan tiada. Binaan yang cukup kukuh. Sayang sekali, engsel skrinnya dan skrinnya tidak cukup ringan untuk membuka ultrabook ini dengan satu tangan tanpa bahagian bawah terangkat.

Matebook D dijana dengan cip pemprosessan Intel Core i5-8250U yang dipadankan dengan RAM 8GB LPDDR3 (tidak boleh ditukar atau dinaik taraf) dan storan dalaman 256GB SSD. Untuk grafik, ia menggunakan Intel UHD Graphics 620 – jadi ia memang hanya untuk tugasan ringan bukannya tujuan untuk bermain permainan video.

Rekaan

Rekaan Matebook D ini sangat elegan. Ia tampak premium, nipis, kemasan seakan sebuah MacBook. Malah, susunan papan kekunci serta perasaan menekan papan kekuncinya juga adalah seakan sebuah MacBook. Bercakap mengenai papan kekunci, di bahagian kiri dan kanannya terdapat pembesar suara.

Lagi dua pembesar suara berada di bawah ultrabook ini dan menjadikan Matebook D ini mempunyai empat pembesar suara. Warna Huawei Matebook D adalah Mystic Silver, ia sama sekali hanya satu nama untuk tujuan pemasaran. Kerana jelas sekali, warna ini adalah seakan warna Silver untuk sebuah ultrabook dari satu jenama buah.

Binaan premium dan berkualiti ini turut menjadikan Matebook D ini sebuah ultrabook yang ringan. Ia mempunyai jisim hanya 1.47 KG. Untuk port pula, ia hanya mempunyai satu bicu audio 3.5mm, satu USB-C, satu HDMI dan dua USB-A.

Prestasi

Untuk prestasi, dari segi ujian tanda aras PCMARK10– berikut adalah hasilnya;

Markah 2,862 yang direkodkan ini boleh dikatakan agak rendah. Kerana kebanyakan ultrabook yang tiada kad grafik dan gabungan Intel Core i5 generasi kelapan dan Intel UHD Graphics 620 adalah sekitar 3000-4000. Ini mungkin kerana RAM yang hanya 8GB, yang bagi saya adalah rendah.

Untuk tanda aras kelajuan SSD, perisian CrystalDiskMark digunakan. Kelajuannya adalah sekitar 552.6 MB/s untuk bacaan dan 457.9 MB/s untuk tulis. Sedikit perlahan, tetapi sudah memuaskan. Kerja-kerja pemindahan dokumen dan video bagi saya sudah mencukupi untuk kelajuan seperti ini. Tetapi tidak salah, jika Huawei gunakan SSD yang sedikit lebih pantas.

Pengalaman Penggunaan

Markah tanda aras hanyalah angka semata. Pengalaman penggunaan di dunia sebenar adalah lebih penting. Saya gunakan Google Chrome kerap dan juga Mozilla Firefox secara serentak. Apabila tab yang banyak sudah dibuka, prestasi akan terasa sedikit perlahan – lengah masanya tidak teruk tapi beza dari tidak menggunakan tab Chrome yang banyak dengan tab yang kurang adalah banyak.

Kemudian, kerja-kerja menyunting gambar – saya gunakan Photoshop CC 2019. Disebabkan storan hanya 256GB SSD, fail-fail besar yang sudah disunting digalakkan untuk terus padam – kerana jika tidak scratch disk akan mudah penuh. Saya tidak cuba untuk menyunting video dalam Matebook D ini, kerana komputer riba yang pernah saya cuba sebelum ini dengan spesifikasi yang sama sudah memberi impak negatif. Tetapi, apa yang Matebook D ini mampu adalah kerja-kerja penyuntingan video yang ringan, seperti resolusi 1080p dengan durasi yang pendek – ia akan mempunyai prestasi yang tidak begitu mengecewakan.

Untuk media, apa yang saya cuba adalah pembesar suara dan menonton video. Video yang saya tonton adalah melalui penstriman Netflix HD dan menonton YouTube 1080p dan 2160p tiada masalah. Skrinnya juga cantik, terang dan puas untuk tontonan filem atau drama dalam jangka masa yang lama. Bingkai yang nipis juga membuatkan mata tetang sahaja memandang. Akan tetapi bingkai bahagian bawah dengan penulisan ‘Huawei’ bagi saya sedikit tebal. Untuk saya, cukuplah dengan logo di belakang skrin dan jika ‘Huawei’ tiada di bingkai ini, pasti skrin akan lebih besar dan puas. Pembesar suara pula, bagi saya agak mengagumkan. Dolby Atmos Sound System pada ultrabook ini memang terbaik. Hasil audio yang saya dengar agak mengasyikkan dan memuaskan. Nampaknya, pilihan Huawei untuk sertakan empat pembesar suara yang berkualiti ini adalah satu cadangan bijak.

Untuk kerja-kerja menaip pula. Di sini ada sedikit perkara negatif. Ini tidak pasti sama ada diri saya sendiri atau pun papan kekunci ini memang tidak mesra jari yang besar. Papan kekunci ini menggunakan rekaan seakan papan kekunci pada sebuah MacBook, jadi jarak bergerak untuk satu kunci ke kunci yang lain adalah sedikit mengecewakan. Kemudian perasaan menaip itu tidak seronok kerana kuncinya boleh dikatakan agak rapat – hanya tekan sedikit, input sudah dibaca. Sepanjang artikel ini ditulis, saya kerap tertekan kunci Caps Lock dan itu adalah menjengkelkan. Mungkin, saya perlu mengambil masa yang sedikit lebih lama untuk membiasakan diri dengan papan kekunci ini.

Terdapat juga lampu backlit pada papan kekunci ini. Ia mempunyai dua aras, malap dan terang. Kemudian, untuk menjimatkan bateri lebih kurang 10 saat jika papan kekunci tidak digunakan – lampu backlit ini akan mati.

Beralih ke pad sesentuh. Pad sesentuhnya mempunyai permukaan yang sedikit kesat dan tidak seronok untuk digunakan. Tetapi kawalan gesture untuk pintasan ke perisian lain atau ke desktop sangat lancar. Ini kerana, pad sesentunya menggunakan Windows Precision driver. Saiznya sedikit kecil, tetapi baik.

Bateri

Ultrabook adalah sebuah komputer riba yang nipis, adakah baterinya kecil dan akan mengecewakan? Huawei Matebook D menggunakan bateri 57.4 WH. Iklan Huawei menyatakan komputer riba ini mampu capai 12 jam – tetapi itu hanya strategi pemasaran semata. Setakat yang saya cuba dari peratusan bateri 100% dan melakukan kerja-kerja melayari web, penulisan artikel, tontonan video – ia mampu capai sehingga 6-7 jam.

Menariknya, apabila tidak disambung pada Internet dan menonton Netflix secara memuat turun untuk tontonan luar talian – saya mampu capai 7-8 jam. Untuk sebuah ultrabook, pencapaian bateri seperti ini adalah satu perkara yang positif. Jadi sepanjang masa saya menggunakannya, saya sangat berpuas hati.

Untuk pengecasan, ia menggunakan port USB-C yang turut boleh digunakan untuk pemindahan data. Pengecasannya juga adalah pantas dengan menggunakan pengecas USB-PD 65W yang disediakan.

Lain-Lain

Untuk ciri dan fungsi lain-lain yang menjadikan komputer riba ini menarik untuk digunakan adalah sekuriti dengan Windows Hello. Untuk integrasi Windows Hello, komputer riba ini menggunakan pengimbas cap jari terbina pada butang kuasanya. Pengimbas cap jarinya juga cukup pantas dan nyahkunci ultrabook ini boleh dikatakan sekelip mata.

Kemudian, turut terpasang dalam Huawei Matebook D ini adalah satu perisian pengurusan ‘PC Manager‘. ‘PC Manager’ ini mampu menyemak keadaan ultrabook dari segi kemaskini driver-driver, menyemak kesihatan ultrabook serta menyelarikan dengan telefon pintar untuk kerja-kerja pemindahan data.

Menarik sekali, turut terbina adalah keselamatan mengecas ultrabook. Apabila dihidupkan, ia tidak akan cas sampai penuh (100%) tetapi hanya sekitar 80%.

Kesimpulan

Sampai masa tibanya waktu untuk menutup artikel ulasan ini. Berdasarkan pengalaman saya, Huawei Matebook D tidak dinafikan adalah sebuah ultrabook yang baik dan cukup memuaskan untuk dijadikan sebagai komputer riba harian atau juga komputer riba kedua.

Kualiti skrin yang baik, terang dan cantik memberi pengalaman menyunting gambar yang bagus serta pengalaman menonton video terbaik. Kecerahan skrin juga cukup memuaskan apabila berada di luar pejabat atau rumah. Dipadankan pula dengan kuasa bateri yang bagus, ultrabook ini bagi saya adalah satu ultrabook yang harus dimiliki.

Pembesar suara yang cukup baik, papan kekunci yang boleh diterima tetapi perlukan penggunaan yang lebih lama untuk biasakan diri, pad sesentuh yang kurang memuaskan tetapi gesture dari Windows Precision menjadikan ia baik-baik sahaja dan berat ultrabook yang kurang dari 1.5KG memudahkan untuk ia dibawa kemana sahaja. Untuk port lebih bagus jika Huawei tambah lagi satu USB-C untuk kemudahan pengguna Kerana port sedia ada terlampau sedikit.

Jika anda ingin memiliki Huawei Matebook D ini, ia dijual pada harga hanya RM2,999 sahaja. Bagi saya ia adalah sebuah ultrabook mampu milik yang padan dengan harganya.

PRO KONTRA
  • Skrin yang cantik.
  • Pembesar suara yang memuaskan.
  • Jangka haya bateri yang hebat.
  • Pengecasan pantas USB-Power Delivery.
  • Papan kekunci yang kurang memuaskan.
  • Pad sesentuh yang kesat.
  • RAM tidak boleh dinaik-taraf.
  • Port sambungan yang sedikit.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd