Microsoft sedia menambah pelbagai ciri-ciri mesra pengguna pada perkhidmatan mereka, dan terkini Microsoft turut berkongsi mengatakan mereka akan menambah sokongan kapsyen masa-nyata dan sarikata pada produk popular mereka, iaitu PowerPoint.
PowerPoint sering digunakan ramai dalam melakukan pembentangan. Dengan sokongan ini, ia akan memudahkan pengguna memahami apa yang sedang dibentangkan dalam bentuk masa-nyata, selain sokongan sarikata akan memudahkan pengguna yang menggunakan bahasa berbeza memahami pembentangan anda.
Microsoft mengatakan sokongan kapsyen masa-nyata akan menyokong sekitar 12 bahasa, sementara ia seterusnya boleh diubah kepada sarikata lain dalam pilihan 60 bahasa berbeza.
Kedua-dua kapsyen dan sarikata akan dipaparkan pada skrin pengguna yang mengikuti pembentangan berkenaan, sekaligus memudahkan anda memilih bahasa, membuat perubahan saiz paparan dan sebagainya.
Ciri baru ini akan hadir pada awal tahun 2019 kelak untuk pengguna Microsoft PowerPoint.