Aplikasi Google Arts & Culture adalah satu aplikasi yang memberi info-info, berita, lokasi dan pelbagai lagi berkaitan dengan seni. Kebanyakan kandungan dalam aplikasi ini adalah karya-karya seni klasik yang jauh untuk kita lihat. Terbaru dalam koleksi Google Arts & Culture adalah koleksi seni lukisan Vermeer.
Apa yang menarik dengan seni lukisan Vermeer ini dalam aplikasi Google Arts & Culture adalah ini hadir dalam bentuk realiti terimbuh. Ia menggunakan teknologi Google ARCore dan Apple ARKit. Pengguna hanya perlu muat turun aplikasi ini, beri akses kepada kamera dan rakam satu kawasan rata untuk muzium lukisan Vermeer ini ‘terbina’.
Selepas beberapa saat proses, pengguna hanya perlu gerakkan tangan dan lihat dan baca segala perkara mengenai lukisan Vermeer. Ia turut mempunyai beberapa blok dan banyak lukisan. Ia seolah melawati satu muzium sebenar, kerana selepas dalam muzium realiti imbuh – pengguna boleh pergi dari blok ke blok, ruang ke ruang.
Sebelum ini, Google Arts & Culture hadir dengan ciri mengambil swafoto dan memadankan dengan karya seni potret lain.