Cari @ Amanz

Quora ialah sebuah laman web soal-jawab yang sangat popular di arena Internet. Di laman web ini, pengguna boleh bertanya mengenai apa-apa soalan, dan ia akan dijawab oleh pengguna-pengguna lain yang fasih mengenai topik yang ditanyakan.

Malangnya, baru-baru ini pihak pentadbir Quora melaporkan bahawa pengkalan data mereka telah digodam, dan butiran peribadi sebanyak 100 juta akaun telah dicuri oleh para penggodam yang terlibat.

Butiran yang dicuri termasuklah nama pengguna, alamat emel dan kata laluan yang disulitkan. Data pengguna yang diambil daripada akaun media sosial seperti Twitter dan Facebook mungkin juga telah dikompromi.

Pihak Quora berkata selain daripada itu, kebanyakan data lain yang didapati oleh mereka sudahpun berada di dalam domain awam, seperti soalan dan jawapan yang boleh dibaca di Quora.

Mereka juga sedang dalam proses untuk memberitahu semua pengguna mereka untuk mengubah kata laluan akaun Quora mereka, dan juga kata laluan alamat emel mereka, terutamanya jika kedua-dua akaun tersebut berkongsi kata laluan yang sama.

Jika anda menggunakan Quora, kami juga ingin menasihati anda supaya menukar kata laluan akaun anda supaya ia tidak digunakan oleh penggodam untuk tujuan yang jahat.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd