Cari @ Amanz

Persidangan Snapdragon Summit sedang berlangsung di Hawaii pagi ini dan cip terkini mereka Snapdragon 855 telah diumumkan. Ini ialah cip yang sebelum ini dikenali sebagai Snapdragon 8150. Berbanding pemproses Snapdragon 845, Snapdragon 855 ini ialah yang pertama menyokong rangkaian 5G.

Snapdragon 855 juga mempunyai kemampuan memproses kecerdasan buatan sehingga tiga kali lebih baik berbanding cip generasi terdahulu. Ini membolehkannya memproses gambar yang diambil menggunakan kamera dengan lebih pantas. Selain itu ia menyokong sistem imbasan cap jari ultrasonik 3D Sonic Sensor yang diletakkan dalam skrin.

Turut diumumkan ialah Snapdragon Elite Gaming yang mungkin adalah jawapan Qualcomm kepada sistem GPU Turbo yang boleh ditemui pada cip HiSilicon Kirin. Ini adalah bagi memberikan kemampuan menjalankan permua pada tetapan tertinggi.

Tiada maklumat mengenai kelajuan, jumlah teras dan cip yang digunakan pada setiap teras buat masa ini. Ia akan hanya diumumkan esok pada hari kedua persidangan. Yang pasti ialah Samsung Galaxy S10 akan menjadi peranti terawal menggunakan cip Snapdragon 855 pada tahun 2019.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd