Cari @ Amanz

Sudah lebih dua tahun Apple AirPods dilancarkan dan sudah kedengaran ura-ura model kemaskini akan dilancarkan menjelang 2020. Antara pembaharuan yang dijangka disertakan ialah sokongan pengecasan nirwayar dan kualiti audio yang dipertingkatkan.

Tetapi Apple mungkin mempunyai perancangan yang lebih menarik untuk AirPods pada model seterusnya. Mereka telah mempatenkan beberapa rekaan dan fungsi baru untuk AirPods dan dokumennya telah ditemukan oleh laman 9to5 Mac.

Paten menunjukkan tubuh AirPods yang diperbuat daripada busa yang mengikut kontur bentuk telinga pemakai. Ini memastikan ia melekap dengan lebih teguh dan menghasilkan ruang kedap menghalang audio luaran dari memasuki telinga. Terdapat sistem biometri yang mengesan pada telinga manakah ia dipasang. Dengan ini orientasi pemasangan AirPods tidak lagi penting kerana perisian akan memastikan audio kiri disalurkan ke AirPods kiri dan sebaliknya.

Ini sama seperti rekaan fon kepala yang  boleh dipakai terbalik yang turut dipatenkan oleh Apple sebelum ini. Apple kerap mempatenkan rekaan yang kemudian tidak dihasilkan. Pengguna hanya boleh berharap paten yang difailkan ini akan direalisasikan dalam masa terdekat.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd