YouTube hari ini telah mengadakan acara khas di Malaysia, sekaligus berkongsi pelbagai perkembangan menarik pada platform mereka sepanjang tahun 2018 ini.
Seperti ramai sedia maklum, YouTube merupakan pusat sehenti yang dikunjungi ramai dalam menonton dan juga mencari video untuk ditonton. Sejak video pertama sepanjang 19 saat dimuat-naik pada 2005 yang lepas, platform berkenaan kini dikunjungi jutaan pengguna setiap hari, dan pada setiap minit, hampir sepanjang 400 juta minit video dimuat-naik di YouTube.
Melalui bancian yang dilakukan oleh Kansar di Malaysia juga, 70% mengatakan mereka mengakses dan menonton video di YouTube setiap hari.
Menyentuh mengenainya juga, YouTube mengatakan yang mana kini di Malaysia terdapat 16 saluran yang mempunyai lebih 1 juta pelanggan – memperlihatkan peningkatan positif dalam penghasilan kandungan digital di Malaysia. Jikalau dibandingkan, pada 2016 yang lepas, hanya satu saluran sahaja yang mempunyai lebih 1 juta langganan.
Disamping itu, terdapat lebih 4,100 saluran YouTube tempatan yang mempunyai lebih 10,000 pelanggan dan menjana pendapatan melalui saluran masing-masing.
Penghasilan kandungan digital kreatif ini dijangka terus akan berkembang pesat pada tahun-tahun akan datang. Malah, menambah-baik lagi, YouTube turut telah mengumumkan kerjasama bersama sejumlah pihak pada tahun ini, termasuk bersama Media Prima dalam menerbitkan pelbagai kandungan terus ke YouTube.
Selain itu, YouTube juga kini menjadi halaman sehenti untuk mengikuti pelbagai berita terkini dengan mudah – sekaligus memperlihatkan peralihan daripada permintaan dikalangan pengguna daripada bentuk teks kepada bentuk video. Langkah ini juga dilihat selari dengan akses internet berkelajuan tinggi yang dinikmati pelbagai lokasi seluruh negara.
Dengan perkembangan sihat ini, kita mungkin akan melihat pelbagai penerbit kandungan baru hadir dengan saluran tersendiri di YouTube, sekaligus akan memperlihatkan penghasilan kandungan kreatif dengan lebih efisyen di rantau ini.