Minggu lepas kita telah lihat informasi mengenai rancangan Microsoft untuk produk-produk Surface mereka pada tahun hadapan dan tahun 2020. Andromeda adalah salah satu daripadanya. Andromeda ini dikatakan adalah peranti dwi-skrin boleh lipat yang turut muat untuk disimpan dalam kocek seakan telefon pintar.
Hari ini, satu lagi informasi untuk sebuah produk yang hampir sama muncul. Ia adalah ‘Centaurus‘. ‘Centaurus‘ adalah peranti dwi-skrin boleh libat, tetapi dikatakan adalah lebih besar dari mana-mana produk Surface atau Andromeda. Menurut laporan dari Windows Central, projek ‘Centaurus’ sudah pun dimulakan sejak tahun lepas dan mungkin Microsoft akan perkenalkan pada tahun ini – tetapi ini sudah pun Disember dan tiada lagi berita rasmi dari Microsoft.
Menurut laporan lain, Microsoft dikatakan masih belum bersedia untuk hadir dengan sebuah peranti Android – jadi, mereka menggalakkan pada pembangun untuk menghasilkan aplikasi UWP (Universal Windows Platform). Kerana peranti ‘Centaurus’ ini dikatakan akan menjalankan Windows Core OS, iaitu sistem operasi Windows 10 yang lebih moden. Ia dikatakan turut akan menyokong aplikasi UWP dan aplikasi .exe biasa. ‘Centaurus’ juga mungkin akan menyokong sokongan mengambil nota dan boleh terus bertukar kepada mod papan kekunci biasa untuk pengalaman penggunaan sebuah peranti Windows biasa.
Apa-apa pun, ini hanya satu laporan dan tidak pasti sama ada ini hanya satu impian kosong atau akan menjadi realiti. Sama-sama kita nantikan di Amanz.