Dyson Membuka Malaysia Development Center Secara Rasmi Di Senai, Johor

Dyson Membuka Malaysia Development Center Secara Rasmi Di Senai, Johor

Diterbitkan pada Dis 6, 2018 oleh .

Dyson ialah sebuah jenama perkakasan rumah premium dari UK yang cukup popular sekali, seperti pembersih vakum, pengering rambut dan sebagainya, dan kebiasaannya, produk-produk mereka perlu diimport dari negara-negara luar sebelum ia boleh dibeli di sini.

Semalam, pihak Dyson telah membuka pusat penyelidikan Malaysian Development Center (MDC) mereka di Senai, Johor dimana mereka mempunyai 22 makmal penyelidikan, pusat pembinaan prototaip dan kawasan-kawasan khusus dimana mereka boleh merekacipta projek-projek baru di masa lapang mereka.

Dyson berkata mereka kini mempunyai 1200 orang pekerja di pusat MDC ini, dimana 800 daripada mereka adalah jurutera dan juruteknik yang bertauliah. Syarikat tersebut juga bekerja rapat dengan pengilang kontrak yang mempunyai bilangan pekerja seramai 30,000 orang.

Pusat MDC ini, yang pada mulanya bersaiz 350 meter persegi sahaja, telah diperbesarkan untuk menjadi sebuah kampus gergasi yang bersaiz 35000 meter persegi, dan kini ialah salah sebuah pusat penyelidikan teknologi paling penting bagi Dyson, yang telah membelanjakan sebanyak RM3 bilion sepanjang 18 tahun mereka beroperasi di Malaysia.

Diantara teknologi-teknologi yang diselidik di pusat MDC ini termasuklah teknologi penjagaan lantai yang termasuk peranti vakum, dan juga teknologi persekitaran yang digunakan di dalam peranti pembersih udara mereka.

Selain dari itu, pusat penyelidikan MDC ini juga digunakan untuk menguji ketahanan produk-produk Dyson, disamping untuk menyelidik teknologi-teknologi yang akan digunakan pada produk-produk mereka di masa hadapan.

Salah satu daripada tarikan menarik di pusat penyelidikan ini ialah ia mempunyai sebuah kafeteria yang hadir dengan sebuah enjin Rolls Royce Pegasus untuk menyerikan suasana di kampus Dyson Malaysian Development Center ini.

Dalam pada itu, Dyson Malaysia turut mengatakan bahawa mereka kini sedang dalam proses untuk menambah seramai 200 lagi jurutera tempatan untuk bahagian penyelidikan dan pembangunan teknologi mereka pada tahun 2019 kelak.


TIPS & ULASAN