Trend menggunakan kecerdasan buatan untuk menghasilkan imej yang berkualiti, cantik dan terang bukan sesuatu yang baru. Sistem kecerdasan buatan ini terbina secara terus dalam aplikasi kamera untuk banyak pengeluar peranti. Huawei adalah antara yang terawal yang menggunakannya dalam peranti P9/P9 Plus. Kemudian, hari ini – Samsung, Xiaomi, Oppo dan banyak lagi dilihat sudah pun menggunakannya.
Baru-baru ini, Xiaomi telah membina satu sistem kecerdasan buatan baru yang dinamakan DeepExposure AI. Tugas sistem ini adalah untuk mengembalikan butiran imej yang terlebih atau terdedah kepada pencahayaan. Selain itu, sistem ini turut boleh menyelesaikan masalah imej yang kurang jumlah pixel dan julat dinamik.
Untuk ujian ini, Xiaomi menggunakan imej-imej dari dataset MIT-Adobe FiveK. Imej-imej ini mengandungi foto RAW yang tidak disunting dan beberapa foto yang telah disunting oleh pakar. Kemudian, untuk mendidik sistem DeepExposure AI ini – Xiaomi menggunakan sejenis algoritma kecerdasan buatan yang dinamakan generative adversarial network. Sistem ini boleh dibandingkan sebagai satu sistem pintar yang memilih penuras/tetapan terbaik dalam Adobe Lightroom untuk menyunting gambar.
Dengan sistem ini, hasil gambar yang diambil dari kamera Xiaomi kelak – mungkin akan lebih berkualiti. Mungkin sistem ini akan diimplementasikan dalam peranti Xiaomi yang menggunakan kamera 48-megapixel kelak?