Vivo Memperlihatkan Gambar Acah Rasmi Vivo Nex 2

Vivo Memperlihatkan Gambar Acah Rasmi Vivo Nex 2

Diterbitkan pada Dis 7, 2018 oleh .

Pada hujung bulan lepas, rekaan Vivo Nex 2 telah tertiris. Ia memperlihatkan rekaan dwi-skrin dan penggunaan tri-kamera. Kemudian, minggu lepas – video acah memperlihatkan peranti ini muncul di arena web. Hari ini, Vivo di Weibo menerbit gambar-gambar acah rasmi buat peranti baru Nex ini.

Menurut spekulasi, skrin utama di hadapan adalah 6.59-inci dan skrin kedua di belakang adalah 5.5-inci. Disebabkan belakang peranti adalah skrin, jadi pengimbas cap jari pasti kekal di dalam skrin seperti Vivo Nex sebelum ini. Untuk tujuan skrin nirbingkai penuh – tiada kamera swafoto diletakkan pada peranti ini. Skrin belakang akan jadi paparan untuk mengambil swafoto menggunakan kamera utama peranti.

Di bahagian belakang, ia memperlihatkan rekaan yang unik. Terdapat satu lingkaran lampu RGB yang dinamakan Lunar Ring. Lunar Ring ini akan berfungsi sebagai LED untuk notifikasi. Laporan mengatakan, sensor kamera ketiga itu adalah seakan Oppo R17 Pro iaitu lensa 3D ToF untuk mod bokeh yang lebih kemas. Peranti ini dilihat ditawarkan dengan dua warna iaitu, biru dan merah.

Di sisi kanan terdapat butang aras suara dan butang kuasa. Di sisi kiri pula, terdapat satu butang – ini mungkin butang akses pintas kepada pembantu maya. Mengejutkan terdapat lagi port audio pada bahagian atas dan di bawah adalah kekisi pembesar suara dan port USB-C.

Apakah pendapat anda dengan rekaan Vivo Nex 2 ini? Sama-sama kita nantikan pelancaran peranti ini kelak di Amanz.


TIPS & ULASAN