Tiga tahun yang lalu Apple Smart Battery Case dihasilkan untuk iPhone 6S. Ia menjadi bahan ketawa pengguna kerana mempunyai bonggol seperti unta sehingga Tim Cook terpaksa mempertahankannya dari kritikan yang diterima. Apple nampaknya akan melancarkan model baharu untuk kerangka dengan bateri terbina ia setelah rekaannya tertiris.
Laman 9to5Mac menemui rekaan ikon untuk kerangka baharu ini di dalam sistem operasi WatchOS 5.1.2. Mereka kemudian mendapat akses kepada imej kerangka di atas yang jelas menunjukkan rekaan terkini kerangka ini. Bonjol telah diubah ke bawah bagi membuatkannya tidak lagi kelihatan seperti unta. Menurut laporan mereka, kerangka ini akan dihasilkan untuk iPhone XS, XS Max dan XR. Ini juga adalah kali pertama kerangka berbateri ini ditawarkan untuk model berskrin besar.