Cari @ Amanz

Berita mengenai teknologi realiti terimbuh dari Apple bukan sesuatu yang baru. Apple dilihat serius dalam usaha pembangunan teknologi realiti terimbuh ini. Baik dari kit pembangunan ARKit, kaca mata AR, dan banyak lagi.

Terkini, Apple telah mendaftar paten buat aplikasi realiti terimbuh yang mungkin akan membantu perkhidmatan seru-pandu. Idea Apple berdasarkan paten ini agak menarik. Aplikasi ini akan membantu pengguna dan juga pemandu dari segi mengenalpasti kenderaan dan juga pelanggan.

Untuk pemandu, mereka boleh kenalpasti penumpang melalui aplikasi ini. Kamera peranti akan kenalpasti penumpang bukan sahaja berdasarkan lokasi, tetapi juga gambar. Aplikasi AR ini akan memberi penunjuk di mana diamnya penumpang, ia akan membantu lebih-lebih lagi di kawasan bandar yang sesak dengan orang ramai.

Untuk penumpang, ia turut boleh kenalpasti melalui penunjuk yang akan paparkan di skrin – di mana kereta seru-pandu ini parkir atau berhenti. Jadi, pengguna tidak lagi perlu tercari-cari mengikut nombor plat kenderaan – tetapi ikut sahaja indikasi aplikasi AR.

Buat masa ini, ia hanyalah satu paten yang didaftarkan. Tidak pasti jika, ini akan menjadi realiti atau hanya fantasi Apple. Jika realiti, ia adalah satu perkara yang menarik.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd