Samsung hari ini telah memperkenalkan telefon pintar terbaru mereka, iaitu Samsung Galaxy A8s. Menjadi fokus pada telefon pintar ini adalah penggunaan skrin berlubang menggantikan takuk – atau apa yang dikenali dengan nama paparan Infinity-O.
Dari segi spesifikasi, Galaxy A8s hadir dengan skrin 6.39-inci dengan paparan HD+ penuh, dijana cip Snapdragon 710, memori 6GB RAM, (termasuk pilihan 8GB RAM), dan storan sehingga 128GB.
Untuk rakaman gambar, Galaxy A8s menyertakan tri-kamera dibelakang, mengabungkan penggunaan sensor 10-megapixel + 24-megapixel dan 5-megapixel. Untuk rakaman swafoto pula, ia menggunakan sensor 24-megapixel.
Menjana peranti ini adalah bateri berkapasiti 3300mAh, selain turut dijana menggunakan sistem operasi Android Oreo dengan antaramuka Samsung tersendiri.
Telefon Samsung ini bukan sahaja menjadi antara yang terawal menggunakan rekaan skrin berlubang, tetapi juga ia menjadi telefon terawal Samsung yang tidak menyertakan bicu audio 3.5mm padanya. Pengimbas cap jari diposisikan pada bahagian belakang peranti berkenaan.
Buat masa ini, ia hanya dilancarkan di China sahaja. Mungkin kita akan melihat ia diperkenalkan di negara-negara lain dalam masa terdekat ini.