ASUS ZenFone Max Pro (M2) Dilancarkan – Android Asli, Snapdragon 660, 5000 mAh, Bermula RM859

ASUS ZenFone Max Pro (M2) Dilancarkan – Android Asli, Snapdragon 660, 5000 mAh, Bermula RM859

Diterbitkan pada Dis 11, 2018 oleh .

Antara peranti yang hangat diperkatakan pada akhir-akhir ini ialah ASUS ZenFone Max Pro (M2) yang bakal membawa spesifikasi yang menarik untuk harganya. Ia merupakan genersi ASUS sebelum ini telah pun memperlihatkan sedikit demi sedikit gambar peranti ini dan kini ia telah pun dilancarkan secara rasmi.

Seperti siri ASUS ZenFone Max Pro sebelum ini, peranti ini masih memfokuskan kepada penggunaan bateri yang besar selain dijana dengan sistem Android asli tanpa penyertaan antaramuka ZenUI. Dengan sistem Android asli ini, ia membolehkan peranti memberi kelancaran yang lebih baik tanpa sebarang pengubahsuaian antaramuka dan fungsi yang besar daripada pengeluar.

ASUS ZenFone Max Pro (M2) membawa perubahan yang besar berbanding ASUS ZenFone Max Pro (M1) terutama dari segi rekaan, skrin, prestasi, dan, keupayaan kamera.

ASUS ZenFone Max Pro (M2) membawakan binaan dalam bentuk glossy dalam memberi penampakan peranti yang lebih elegan. Rekaannya walau bagaimanapun hadir dalam binaan polikarbonat berbanding binaan logam pada model ZenFone Max Pro sebelum ini. Di bahagian belakang peranti, ia masih membawakan pengimbas cap jari selain menyajikan fungsi imbasan wajah sebagai alternatif.

Ia juga masih mengekalkan sambungan mikro-USB pada bahagian bawah berbanding sambungan moden USB-C. Namun ia masih menyajikan sambungan bicu audio di bahagian bawah peranti – tidak seperti Xiaomi Mi A2 yang telah membuang bicu audio ini. Di bahagian sisi kiri, ia turut mendatangkan slot dwi-sim dengan kebolehan meletakkan kad mikroSD.

Bahagian hadapannya hadir dengan paparan skrin bertakuk dalam memberi ruang paparan yang lebih luas. Ia hadir dengan paparan IPS LCD sebesar 6.3-inci Full HD+ dengan nisbah skrin 19:9. Apa yang menarik, ia kini telah dilindungi dengan kaca Corning Gorilla Glass 6 untuk melindungi skrin ini daripada kesan calar dan hentakan.

ASUS ZenFone Max Pro (M2) membawa peningkatkan prestasi melalui penggunaan cip Qualcomm Snapdragon 660. Ia merupakan cip yang sama digunakan pada Realme 2 Pro dan Xiaomi Mi A2 yang mampu menggalas tugasan harian dengan pantas. Penawaran memorinya juga masih sama, dengan konfigurasi bermula 4GB RAM sehingga 6GB RAM.

Keupayaan kameranya masih hadir dengan sistem dwi-kamera namun kini ia dipertingkatkan dengan kehadiran sensor baru. Ia membawakan sensor 12MP (f/1.8, 1.25um, Sony IMX486) bersama sensor 5MP untuk membantu penghasilan bokeh. Kamera hadapannya pula hadir dengan sensor 13MP yang turut membolehkan pengguna menikmati penggambaran Portrait Mode.

Baterinya masih didatangkan dengan kapasiti 5000 mAh iaitu kapasiti yang cukup besar apabila dibandingkan dengan pesaingnya seperti Realme 2 Pro (3500 mAh), Xiaomi Mi A2 (3010 mAh), dan Xiaomi Redmi Note 6 Pro (4000 mAh). Namun sistem pengecasannya masih hadir dalam pengecasan 10W tanpa sebarang sokongan pengecasan pantas.

Untuk pasaran Malaysia, ASUS ZenFone Max Pro (M2) dengan 4GB RAM + 64GB dijual pada harga RM859 manakala variasi dengan 6GB RAM + 64GB ditawarkan pada harga RM999.

Bagi anda yang ingin mendapatkannya, kedua-dua variasi ini boleh dipra-tempah bermula 11-17 Disember ini melalui dua saluran berbeza. Variasi dengan 4GB RAM + 64GB boleh dipra-tempah melalui Lazada dan variasi 6GB RAM + 64GB boleh dipra-tempah melalui halaman Shopee.


TIPS & ULASAN