Cari @ Amanz

ASUS ZenFone Max Pro (M2)
Skrin 6.3” IPS LCD, FHD+, 19:9
Chipset Qualcomm Snapdragon 660
CPU 4 x Kryo 260 2.0 GHz
4 x Kryo 260 1.8 GHz
GPU Adreno 512
Memori 4GB / 6GB RAM
Storan 64GB + mikroSD
Kamera Utama 12MP f/1.8 + 5MP
Kamera Hadapan 13MP
Sambungan WiFi 802.11 b/g/n
Bluetooth 5.0
A-GPS, GLONASS
Mikro-USB
Sistem Android 8.1 Oreo
Bateri 5000 mAh, pengecasan 10W
Dimensi 157.9 x 75.5 x 8.5 mm
Berat & Ketebalan 170g, 8.5mm

ASUS sebelum ini telah hadir dengan ASUS ZenFone Max Pro (M1) iaitu peranti yang memfokuskan kepada penawaran bateri berkuasa bersama tampilan Android asli. Ia cukup popular dalam kalangan pengguna kerana ia menawarkan spesifikasi yang cukup bernilai untuk harganya. Ia hadir dengan skrin penuh, cip kelas pertengahan yang lancar, bersama keupayaan dwi-kamera pada bahagian belakang. Ia juga telah mencabar pesaing terdekatnya seperti Xiaomi Redmi Note 5 dengan menawarkan kapasiti bateri 5000 mAh.

ASUS pada acara pelancaran di Jakarta telah pun memperkenalkan ASUS ZenFone Max Pro (M2) yang hadir dengan sejumlah pembaharuan baru. Antara perkara yang dibawa adalah rekaan yang lebih menarik, skrin yang lebih besar, dan mempunyai prestasi yang lebih pantas berbanding sebelum ini. Ia juga mengekalkan apa yang disukai oleh pengguna sebelum ini seperti penggunaan Android asli dan kapasiti yang besar untuk bateri.

Dengan sambutan yang hebat mengenai peranti ini, saya berkempatan untuk mencubanya ketika lawatan saya di Jakarta pada saat ini. Ia sebuah peranti yang hebat dan ada beberapa perkara menarik yang saya ingin kongsikan sebelum
anda membeli peranti ini. Jadi tanpa membuang masa lagi, ini pandangan awal saya mengenai ASUS ZenFone Max Pro (M2).

Rekaan

Sebagai permulaan, ASUS ZenFone Max Pro (M2) didatangkan dengan spesifikasi kelas pertengahan, seperti kehadiran skrin 6.3-inci Full HD+ dengan nisbah 19.9:9, cip Snapdragon 660, pilihan memori 4GB / 6GB RAM, dan storan dalaman sebesar 64GB bersama sokongan mikroSD. Ia juga menawarkan beberapa sambungan seperti Wi-Fi 802.11 b/g/n, Bluetooth 5.0, bersama kapasiti bateri 5000 mAh.

ASUS ZenFone Max Pro (M2) membawakan rekaan yang lebih menarik, dengan tampilan binaan dalaam bentuk glossy. Ia kelihatan elegan dan mengingatkan saya dengan rekaan Realme 2 Pro yang turut membawa tampilan seperti ini. Rekaannya walau bagaimanapun hadir dengan binaan polikarbonat, berbanding binaan logam pada model ZenFone Max Pro (M1). Binaan ini mudah memerangkap kesan calar dan cap jari namun boleh dilindungi dengan aksesori perlindung peranti yang dibekalkan secara percuma.

Di bahagian belakang peranti ini juga turut menempatkan rekaan kamera baru yang kelihatan lebih kemas dan menarik. Ia juga masih membawakan pengimbas cap jari di bahagian ini yang mana terletak pada lokasi yang mudah dicapai. Sebagai alternatif, ia juga menyajikan fungsi imbasan wajah untuk memudahkan pengguna membuka peranti dengan pantas.

Untuk sambungan, ia masih mengekalkan sambungan micro-USB pada bahagian bawah berbanding sambungan berasaskan USB-C. Namun ia masih menyajikan sambungan bicu audio di bahagian bawah peranti – tidak seperti Xiaomi Mi A2 yang telah membuang bicu audio ini. Di bahagian sisi kiri, ia turut mendatangkan slot dwi-sim dengan kebolehan meletakkan kad mikroSD.

Rekaan hadapannya hadir dengan paparan skrin bertakuk dalam memberi ruang paparan yang lebih luas. Ia hadir dengan paparan IPS LCD sebesar 6.3-inci Full HD+ dengan nisbah skrin 19:9. Apa yang menarik, ia kini telah dilindungi dengan kaca Corning Gorilla Glass 6 untuk melindungi skrin ini daripada kesan calar dan hentakan. Cuma untuk rekaan takuknya, ASUS tidak menawarkan sebarang fungsi untuk menyorokkannya buat masa ini.

Dari segi variasi, ASUS ZenFone Max Pro (M2) ditawarkan dalam dua variasi sahaja di Malaysia, iaitu 4GB RAM / 64GB dan 6GB RAM / 64GB. Ia tidak seperti Realme 2 Pro yang mempunyai penawaran memori setinggi 8GB RAM dan storan dalaman setinggi 128GB. Namun seperti kebanyakan peranti kelas pertengahan yang lain, ia masih membawakan slot kad mikroSD (sehingga 2TB), sekiranya storan dalaman peranti ini tidak mencukupi untuk anda.

Sistem

ASUS ZenFone Max Pro (M2) masih menawarkan antaramuka Android asli yang dibina berasaskan Android 8.1 Oreo. Antaramuka ini kelihatan kemas dan moden, namun tidak menawarkan sebarang pertukaran tema untuk pengguna. Pelancarnya hadir dengan talam aplikasi yang perlu dikeluarkan ke atas seperti yang dilihat pada peranti Google Pixel.

Antara pengubahsuaian yang dilakukan ialah penyertaan sejumlah aplikasi ASUS seperti ASUS Calculator, ASUS Sound Recorder, FM Radio, dan ASUS Camera Lite. Ia juga menampilkan fungsi Ambient Display untuk membolehkan anda melihat notifikasi yang masuk secara sekilas pandang. ASUS juga turut melengkapkan ia dengan ZenMotion untuk kebolehan “double tap to wake” dan “double tap to turn off screen”.

Prestasi

ASUS ZenFone Max Pro (M2) membawa peningkatkan prestasi melalui penggunaan cip Qualcomm Snapdragon 660. Ia membawakan cip lapan-teras, menerusi 4 x Kryo 2.0 GHz + 4 x Kryo 260 1.8 GHz, bersama penggunaan GPU Adreno 512. Cip ini turut digunakan pada Realme 2 Pro dan Xiaomi Mi A2 yang mampu menggalas tugasan harian dengan pantas. Penawaran memorinya dilihat memadai untuk kegunaan pengguna, dengan konfigurasi bermula 4GB RAM sehingga 6GB RAM.

Kamera

Dari segi kamera, ASUS ZenFone Max Pro (M2) membawakan penawaran yang lebih baik berbanding model sebelum ini, melalui padanan sensor utama 12MP (f/1.8, 1.25um, Sony IMX486) dan sensor kedua 5MP untuk hasilan bokeh. Dengan harga peranti yang berpatutan, ia tidak didatangan dengan sistem penstabilan optikal (OIS), namun masih menawarkan sistem penstabilan elektronik (EIS) untuk mengurangkan kesan gegaran ketika melakukan rakaman video. Untuk penggambaran malam, ia dilengkapi dengan lampu flash LED dengan sokongan pencahayaan satu tona warna.

Dari segi keupayaan kamera hadapan pula, ia menawarkan kamera 13MP, bersama Beautify Mode untuk mencantikkan lagi wajah anda. Anda juga boleh menggunakan fungsi Portrait Mode yang membolehkan kesan kabur dihasilkan di bahagian belakang wajah.

ASUS ZenFone Max Pro (M2) masih menggunakan aplikasi Snapdragon Camera namun telah dijenamakan sebagai ASUS Camera Lite. Fungsinya masih sama dengan aplikasi Snapdragon Camera pada Max Pro (M1) namun ikon di dalamnya telah diselaraskan dengan ikon yang menyerupai ASUS PixelMaster Camera. Namun beberapa isu masih dilihat pada aplikasi ini seperti kedudukan butang fungsi yang tidak mesra pengguna dan terdapat isu prestasi tergendala ketika mengambil gambar.

Dari segi fungsi, ia menawarkan rakaman video setinggi 4K@30fps, namun penstabilan video yang diaktifkan untuk rakaman 1080p@30fps. Ia juga menyajikan mod HDR bagi meningkatkan keupayaan dynamic range pada gambar. Fungsi Pro Mode turut tersedia, dengan menyajikan sejumlah kawalan manual seperti pertukaran ISO, fokus, EV, white balance, dan shutter speed.

Bateri

Dari segi bateri, ia masih didatangkan dengan kapasiti 5000 mAh iaitu kapasiti yang cukup besar apabila dibandingkan dengan pesaingnya seperti Realme 2 Pro (3500 mAh), Xiaomi Mi A2 (3010 mAh), dan Xiaomi Redmi Note 6 Pro (4000 mAh). Dengan penggunaan cip 14nm menerusi cip Snapdragon 660, ia dijangka dapat memberi penggunaan sepanjang hari dengan nyalaan skrin yang lama.

Seperti ASUS ZenFone Max Pro (M1), ia dijangka dapat memberi bacaan nyalaan skrin (SoT) sekitar 7-9 jam untuk penggunaan dari pagi sehingga ke waktu malam. Namun dari segi pengecasan, ia tidak menampilkan sebarang sokongan pengecasan pantas, dengan memerlukan pengguna bergantung kepada pengecasan 10W.

Rumusan

ASUS ZenFone Max Pro (M2) membawa penambahbaikan yang ketara namun masih mengekalkan apa yang disukai oleh pengguna pada Max Pro (M1). Ia mempunyai rekaan yang lebih menarik walaupun ia kini menampilkan binaan berasaskan polikarbonat. Saiz skrinnya juga dipertingkatkan kepada saiz 6.3-inci (berbanding 5.99-inci) bersama rekaan bertakuk untuk memberi ruang paparan yang lebih luas.

Dalamannya juga hadir mempunyai peningkatan, melalui penggunaan cip Qualcomm Snapdragon 660 yang terkenal dengan prestasinya yang lancar. Keupayaan kameranya juga telah dipertingkatkan kepada sensor 12MP (f/1.8, 1.25um, Sony IMX486) + 5MP dalam memberi kualiti penggambaran yang lebih baik. Tetapi apa yang menarik, ia masih mengekalkan pengalaman Android asli dan kapasiti bateri 5000 mAh yang sedia menjadi fungsi kesukaan untuk pengguna.

Dari segi jualan, ASUS ZenFone Max Pro (M2) dengan 4GB RAM + 64GB dijual pada harga RM859 manakala variasi dengan 6GB RAM + 64GB ditawarkan pada harga RM999. Bagi anda yang ingin mendapatkannya, kedua-dua variasi ini boleh dipra-tempah bermula 11 – 17 Disember ini melalui dua saluran berbeza. Variasi dengan 4GB RAM + 64GB boleh dipra-tempah melalui Lazada dan variasi 6GB RAM + 64GB boleh dipra-tempah melalui halaman Shopee.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd