Cari @ Amanz

ASUS ZenFone Max (M2) Diperkenalkan – Hadir Dengan Snapdragon 632 & Harga Lebih Berpatutan

Link Copied!

Bersama-sama dengan pelancaran ASUS ZenFone Max Pro (M2), ASUS turut menawarkan model yang lebih berpatutan untuk siri ASUS ZenFone Max kali ini. Ia dikenali sebagai ASUS ZenFone Max (M2) yang turut memfokuskan kepada penawaran Android asli dan ketahanan bateri.

ASUS ZenFone Max (M2) boleh dikatakan membawa penawaran seumpama ASUS ZenFone Max Pro (M1) melalui binaan berasaskan logam. Rekaan belakangnya masih menampilkan pengimbas cap jari selain mengekalkan beberapa sambungan seperti mikro-USB dan bicu audio 3.5mm. Ia juga hadir dengan slot dwi-sim dengan membolehkan pengguna meletakkan kad mikroSD.

Melalui ZenFone Max (M2) ini juga, ASUS telah meningkatkan saiz skrin yang kini mempunyai saiz sebesar 6.3-inci. Ia juga mempunyai rekaan bertakuk seperti ZenFone Max Pro (M2) bagi memberi ruang paparan yang lebih luas. Namun resolusinya telah dikurangkan kepada HD+ sahaja berbanding Full HD+ pada ZenFone Max Pro (M1) dan Max Pro (M2).

Dari sudut prestasi, ASUS Zenfone Max (M2) telah dijana dengan cip Qualcomm Snapdragon 632, pilihan memori 3GB / 4GB RAM, dan pilihan storan dalaman 32GB / 64GB. Ia juga menampilkan Android asli dengan pengalaman Android yang lebih baik tanpa pengubahsuaian yang besar dari segi fungsi dan antaramuka.

ASUS Zenfone Max Pro (M2) menawarkan sokongan dwi-kamera utama 13MP + 2MP, selain menampilkan kamera hadapan 8MP. Kapasiti baterinya juga sedikit kecil berbanding Max Pro (M1) dan Max Pro (M2) dengan membawakan kapasiti 4000 mAh.

Harga dan tarikh jualan ASUS ZenFone Max (M2) untuk pasaran Malaysia masih tidak dikongsikan oleh pihak ASUS Malaysia buat masa ini. Untuk pasaran Indonesia, peranti ini telah ditawarkan pada harga Rp. 2,299,000 (~RM657) untuk variasi 3GB / 32GB dan Rp. 2,699,000 (~RM771) untuk variasi 4GB / 64GB.


Komen ()