Huawei Nova 4 akan dilancarkan pada 17 Disember hadapan. Ia adalah sebuah lagi peranti dengan lubang pada skrin untuk kamera swafoto. Sebelum ini hanya rekaan hadapan peranti ini telah diperlihatkan oleh Huawei. Pagi ini rekaan keseluruhan peranti tertiris selepas ia memasuki pangkalan data laman pensijilan TENAA di China.
Pada bahagian hadapan terdapat lubang kamera pada bucu atas sebelah kiri dengan rekaan hampir nirbingkai. Rekaan panel belakang pula mirip Huawei P20 Pro dengan sistem tri-kamera dan pengimbas cap jari berbentuk bulat. Dapat dilihat frasa 48MP A.I Camera di sebelah lampu flash.
Yang menjadi misteri ialah pemproses yang bakal digunakan oleh Nova 4. Nova 3 tahun lalu dilengkapi dengan cip peranti mercu Kirin 970. Dengan pelancaran Honor View 20 kelak. ada kemungkinan Nova 4 berkongsi spesifikasi yang sama seperti yang dilakukan oleh Huawei sejak kebelakangan ini.