Kad bunyi merupakan sebuah komponen komputer yang sangat popular di era awal 2000 dimana kualiti audio adalah salah satu aspek yang sangat dipentingkan oleh pembina komputer dan juga peminat audio.
Creative, sebuah syarikat pembina komponen audio yang terkenal dari Singapura telah kembali baru-baru ini dengan beberapa produk baru, dan dengan kad bunyi Creative Sound BlasterX AE-9, mereka dilihat ingin membawa kembali generasi kegemilangan audiofil kembali ke arus perdana.
Kad bunyi ini menggunakan cip pemprosesan audio sama yang digunakan pada produk-produk terbaru mereka seperti SoundBlaster AE-5 dan AE-5 Pure, tetapi mempunyai amplifier yang membolehkan pengguna mengubahkan komponen tersebut ke sesuatu yang mereka lebih sukai.
Sound BlasterX AE-9 ini juga menggunakan DAC ESS Sabre 32 yang terkenal di kalangan peminat audio dan juga amplifier luaran menyokong sambungan kabel XLR dan juga TRS untuk mikrofon. Pada kad suara AE-9 itu sahaja, ia juga menyokong sambungan 3.5mm dengan sokongan untuk sejumlah saluran audio yang banyak, bersama-sama dengan sambungan kabel RCA bagi mereka yang menggunakan pembesar suara yang berbeza-beza.
Menurut pihak Creative, kad bunyi Creative Sound BlasterX AE-9 ini akan mula dijual pada penghujung bulan ini ataupun awal bulan hadapan untuk harga $299 (~RM1200) seunit.