Antara fakta menarik yang saya dipelajari di dalam silibus alam dan manusia ketika di sekolah dahulu ialah citah adalah haiwan darat terpantas di dunia. Ia boleh berlari pada kelajuan mencecah 120 km/j. Tetapi citah kini bukanlah haiwan terpantas di dunia. Menurut kajian terkini penyelidik dari University Of Illinois at Urbana-Champaign, haiwan dengan anggota tubuh terpantas di dunia ialah semut drakula
Semut drakula atau nama saintifiknya mystrium camillae mempunyai penyepit yang bergerak pada kelajuan 90 meter sesaat,. Ini bersamaan dengan kelajuan 324 kilometer sejam dan 5000 kali ganda lebih pantas dari kelipan mata manusia. Penyepit semut drakula digunakan bukan untuk menggigit sebaliknya untuk melibas. Libasan yang laju ini akan mengakibatkan mangsa pengsan dan kemudiannya membolehkan ia dibawa pulang ke sarang untuk menjadi makanan larva semut drakula.
Serangga ini boleh ditemui di Asia Tenggara dan Australia. Jadi sekiranya anda ingin melihat haiwan dengan anggota tubuh terpantas di dunia, ia mungkin boleh ditemui di rumah anda sendiri.