Nampaknya kita tidak perlu menunggu lama untuk Intel hadir dengan sebuah produk yang boleh bertanding dengan AMD untuk pasaran cip pemprosesan komputer dunia.
Baru-baru ini, Intel telah memperlihatkan CPU dengan nama kod Sunny Cove, yang dibina menggunakan proses 10nm, yang menurut mereka akan memberikan CPU ini prestasi satu bebenang dan multi-bebenang yang lebih berkuasa berbanding dengan CPU generasi ini.
Intel telah menguji kebolehan CPU Sunny Cove ini dengan perisian pengarkiban 7zip yang diubahsuai untuk mengambil kesempatan set arahan CPU Sunny Cove yang baru, dan telah memperlihatkan peningkatan prestasi sehingga 75 peratus lebih pantas daripada CPU generasi ini.
Intel juga memperlihatkan cip grafik bersepadu (integrated grafik) generasi ke-11 mereka, dan menurut Intel, cip grafik ini hadir dengan prestasi setinggi 1 petaflop. Sebagai perbandingan, cip grafik bersepadu Vega 8 yang hadir di dalam CPU AMD Ryzen 5 2500U hadir dengan prestasi setinggi 1.1 teraflop.
Intel masih belum mengumumkan bilakah mereka akan menggunakan CPU Sunny Cove ini, tetapi terdapat ura-ura yang mengatakan bahawa ia akan mula tiba di CPU Ice Lake-U untuk komputer riba pada awal tahun hadapan.