Generasi ketiga laptop gaming nipis dan berkuasa daripada ASUS, iaitu ASUS ROG Zephyrus S GX531 yang diperkenalkan di acara IFA Berlin beberapa bulan lalu kini akhirnya tiba di pasaran Malaysia.
Laptop tersebut, yang hadir dengan paparan bersaiz 15.6 inci dan resolusi Full HD (1920×1080) mempunyai kadar segar semula 144Hz dengan sela-masa paparan 3ms sahaja dilengkapi oleh CPU Intel Core i7-8750H, memori DDR4 sebanyak 16GB dan juga storan SSD sebesar 500GB.
Dari segi kad grafik, model laptop Zephyrus S yang dibawa masuk ke pasaran tempatan mempunyai kad grafik NVIDIA GeForce GTX 1060 6G versi desktop, dan kesemua komponen-komponen ini dimuatkan di dalam sebuah rangka aluminium yang mempunyai ketebalan 15.75mm dan hanya seberat 2.1kg.
Rekaan laptop ini juga menyerupai laptop ASUS Zephyrus yang pertama, tetapi hadir dengan beberapa kemaskini kepada beberapa ciri, seperti sistem penyejukan Active Aerodynamic System dan juga perisian ROG Armoury Crate.
Pihak ASUS Malaysia mengatakan bahawa laptop ASUS Zephyrus S GX531 ini sudahpun tiba di pasaran Malaysia pada harga RM7999, dan 30 pembeli pertama laptop ini akan mendapat sebuah beg galas BP1500G ROG BACKPACK yang bernilai RM159.