Cari @ Amanz

ASUS ZenFone Max (M2)
Skrin 6.3” IPS LCD, HD+
Nisbah 19:9, 267 ppi
Chipset Qualcomm Snapdragon 632
CPU 4 x Kryo 250 Gold 1.8 GHz
4 x Kryo 250 Silver 1.8 GHz
GPU Adreno 506
Memori 3GB / 4GB RAM
Storan 32GB / 64GB eMMC 5.1
mikroSD sehingga 2TB
Kamera Utama 13MP f/1.8 + 2MP
Kamera Hadapan 8MP
Sambungan WiFi 802.11 b/g/n
Bluetooth 4.2
A-GPS, GLONASS
mikro-USB
Sistem Android 8.1 Oreo
Bateri 4000 mAh, pengecasan 10W
Dimensi 158.4 x 76.3 x 7.7 mm
Berat & Ketebalan 160g, 7.7mm

Bersempena dengan acara pelancaran ASUS ZenFone Max Pro (M2), pihak ASUS turut menawarkan sebuah lagi model di bawahnya menerusi ASUS ZenFone Max (M2). Ketika ASUS ZenFone Max Pro (M1) dilancarkan, harga yang ditawarkan oleh peranti tersebut agak murah yang mana ditawarkan pada harga bermula RM699. Jadi dengan model ASUS ZenFone Max (M2) ini, akan membawa penawaran yang hampir serupa melalui harga jualan yang lebih berpatutan.

ASUS ZenFone Max Pro (M2) bukanlah semakin mahal, tetapi variasi yang ditawarkan kini bermula dengan 4GB RAM + 64GB dan diikuti dengan variasi 6GB RAM + 64GB. Ia tidak lagi menawarkan variasi 3GB RAM + 32GB seperti ASUS ZenFone Max Pro (M1), jadi harga permulaan untuknya adalah pada harga RM859. Untuk memberikan harga jualan yang lebih mampu milik, ASUS ZenFone Max (M2) ditawarkan untuk pengguna dalam variasi permulaan 3GB RAM + 32GB.

Rekaan

Sebagai permulaan, ASUS ZenFone Max (M2) didatangkan dengan spesifikasi kelas pertengahan, seperti kehadiran skrin 6.3-inci HD+ dengan nisbah 19:9, cip Snapdragon 632, pilihan memori 3GB / 4GB RAM, dan storan dalaman sebesar 32GB / 64GB bersama sokongan mikroSD. Ia juga menawarkan beberapa sambungan seperti Wi-Fi 802.11 b/g/n, Bluetooth 4.2, bersama kapasiti bateri 4000 mAh.

Rekaan belakang ASUS ZenFone Max (M2) boleh dikatakan sama seperti ASUS ZenFone Max Pro (M1). Rekaan kameranya sama, kedudukan pengimbas cap jarinya sama, dan hadir dengan binaan yang serupa. Ia membawakan binaan berasaskan logam yang dilihat sangat baik dalam mengurangkan kesan cap jari. Dengan kapasiti bateri yang dikurangkan, peranti ini lebih ringan berbanding Max Pro (M1) melalui berat 160g (berbanding 180g). Ia juga kelihatan nipis dengan hanya membawakan ketebalan sebanyak 7.7mm berbanding 8.5mm pada Max Pro (M1).

Untuk sambungannya, ia masih membawa sambungan mikro-USB seperti Max Pro (M1), yang ditempatkan pada bahagian bawah peranti. Bersebelahan dengan sambungan mikro-USB ini, ia menempatkan saluran pembesar suara namun hanya menawarkan audio dalam bentuk mono. Tetapi untuk kedudukan bicu audionya, ia kini telah ditempatkan pada bahagian atas berbanding mengekalkannya pada bahagian bawah. Pada sisi kiri peranti, ia menempatkan slot dwi-sim dengan kebolehan meletakkan kad mikroSD pada ruang yang berasingan.

Sekiranya rekaan belakang peranti ini menyerupai Max Pro (M1), rekaan hadapannya pula membawakan rekaan yang serupa seperti Max Pro (M2). Ia hadir dengan saiz skrin sebesar 6.3-inci dengan nisbah skrin 19:9. Cuma resolusinya telah dikurangkan berbanding Max Pro (M1) & (M2) dengan hanya menawarkan resolusi HD+ sahaja berbanding Full HD+. Ia menampilkan panel berasaskan IPS LCD dengan rekaan bertakuk untuk memberi ruang paparan yang lebih luas.

Dari segi variasi, ASUS ZenFone Max (M2) ditawarkan dalam dua variasi iaitu 3GB RAM + 32GB dan 4GB RAM + 64GB. Sekiranya anda mahukan variasi yang lebih tinggi, anda boleh mendapatkan ZenFone Max Pro (M2) dengan penawaran variasi setinggi 6GB RAM + 64GB. Seperti Max Pro (M2), peranti ini masih menawarkan slot kad mikroSD (sehingga 2TB) sekiranya storan dalaman 32GB / 64GB tidak mencukupi untuk anda.

Sistem

ASUS ZenFone Max (M2) menawarkan antaramuka Android asli seperti siri ZenFone Max Pro sebelum ini namun masih dibina bersasaskan Android 8.1 Oreo. Sewaktu pelancaran peranti ini, ASUS telah berkongsi mengenai kemaskini Android 9.0 Pie untuk model Max (M2) dan Max Pro (M2) yang mana bakal hadir pada sekitar suku pertama 2019. Antaramuka pada Max (M2) kelihatan hampir menyerupai seperti peranti Google Pixel dan Android One, dengan tampilan yang kemas tanpa sebarang sokongan pertukaran tema.

ASUS telah membuat beberapa pengubahsuaian pada antaramuka Android asli ini seperti penambahan aplikasi mereka sendiri. Antara aplikasi yang diletakkan ialah ASUS Calculator, ASUS Sound Recorder, FM Radio, dan ASUS Camera Lite (yang dijenamakan daripada aplikasi Snapdragon Camera). Ia juga menawarkan fungsi Ambient Display bagi memudahkan anda melihat notifikasi yang masuk tanpa perlu membuka peranti. ASUS juga turut menyajikan fungsi ZenMotion untuk kebolehan membuka dan mengunci peranti melalui isyarat “tap” pada skrin sebanyak dua kali.

Prestasi

ASUS ZenFone Max (M2) dijana dengan cip kelas pertengahan terbaru daripada Qualcomm menerusi Snapdragon 632. Ia membawakan rekaan cip lapan-teras, menerusi 4 x Kryo 250 Gold 1.8 GHz + 4 x Kryo 250 Silver 1.8 GHz, bersama penggunaan GPU Adreno 506. Cip ini juga dilihat menjana Honor 8C yang baru sahaja pada minggu ini. Dari penawaran memori, ia dilihat memadai untuk kegunaan harian, dengan konfigurasi bermula 3GB RAM dan 4GB RAM.

Kamera

Untuk keupayaan kameranya pula, ASUS ZenFone Max (M2) hadir dengan sistem dwi-kamera yang berlainan berbanding ZenFone Max (M1) dan (M2), melalui padanan sensor utama 13MP (f/1.8) dan sensor kedua 2MP untuk hasilan bokeh. Dengan harga jualan yang rendah, ia tidak menawarkan sistem penstabilan imej optikal (OIS), namun masih hadir dengan sistem penstabilan imej elektronik (EIS) untuk mengurangkan kesan gegaran ketika membuat rakaman video. Untuk penggambaran malam, ia dibantu dengan lampu flash LED dengan sokongan pencahayaan satu tona warna.

Keupayaan kamera hadapannya hadir dengan sensor 8MP dengan penyertaan Beautify Mode untuk kebolehan pencatikkan wajah pada gambar. Ia juga menyertakan fungsi Portrait Mode dalam membolehkan kesan kabur dihasilkan pada bahagian belakang wajah.

ASUS telah menjenamakan Snapdragon Camera ini kepada ASUS Camera Lite bagi memberi penjenamaan yang lebih mesra kepada pengguna. Selain mengubah jenama, ikonografi pada aplikasi Snapdragon Camera ini turut diubah, yang kini lebih menyerupai ikonografi aplikasi ASUS PixelMaster Camera. Namun beberapa isu pada aplikasi ini masih hadir, iaitu perletakkan butang yang kurang mesra pengguna dan memberi kualiti penggambaran yang kurang memuaskan.

Dari segi fungsi, ia masih memberi kebolehan rakaman video setinggi 4K@30fps namun penstabilan video hanya boleh diaktifkan untuk rakaman 1080p@30fps. Ia turut menawarkan kebolehan HDR bagi membolehkan pengguna mendapatkan hasil gambar dengan kesan dynamic range yang lebih baik. Kawalan manual juga turut ditawarkan pada aplikasi kamera ini, yang membolehkan pengguna membuat pertukaran ISO, shutter speed, white balance, EV, dan fokus.

Bateri

Untuk ketahanan bateri, ASUS ZenFone Max (M2) hadir dengan kapasiti yang sedikit direndahkan iaitu 4000 mAh (berbanding 5000 mAh pada siri Max Pro). Walaupun ia membawa kapasiti bateri yang sedikit kecil, kapasiti bateri sebenarnya masih besar dan setara apabila dibandingkan dengan peranti pesaingnya. Apabila dibandingkan, kapasiti bateri peranti ini setara dengan Xiaomi Redmi Note 5 dan Redmi Note 6 Pro.

Namun untuk pengecasannya, kesemua siri ZenFone Max Pro terbaru tidak didatangkan dengan sebarang pengecasan pantas. ASUS hanya membekalkannya dengan pengecas 10W untuk menyingkatkan masa pengecasan peranti. Dengan kapasiti bateri 4000 mAh dan pengecas 10W, ia bakal memakan masa sekitar 3 jam untuk mengecas penuh peranti ini.

Rumusan

ASUS ZenFone Max (M2) ini menyerupai seperti ASUS ZenFone Max Pro (M1) melalui binaan berasaskan logam dan harga yang lebih berpatutan. Cuma ia terdapat sedikit pengurangan, antaranya penggunaan resolusi skrin HD+ dan kapasiti bateri 4000 mAh. Cip pemprosesannya juga berada di bawah Snapdragon 636, selain juga menyajikan penggunaan sensor kamera yang sedikit rendah.

Namun dengan penjenamaan ZenFone Max, ASUS ZenFone Max (M2) masih menawarkan apa yang disukai pengguna iaitu pengalaman Android asli dan kapasiti bateri yang masih besar untuk kegunaan harian. Ia juga menawarkan pengalaman penggunaan yang baik, melalui prestasi yang lancar dan keupayaan kamera yang memadai untuk kegunaan harian. Ia adalah sebuah yang sangat disyorkan untuk yang pengguna sedang mencari alternatif terbaik berbanding ASUS ZenFone Max Pro (M2).

Dari segi jualan, harga dan tarikh pelancaran ASUS ZenFone Max (M2) untuk pasaran Malaysia masih tidak dikongsikan oleh pihak ASUS Malaysia buat masa ini. Namun harganya telah diumumkan untuk pasaran Indonesia yang mana dilihat masih berpatutan untuk harganya. Peranti ini telah ditawarkan pada harga Rp. 2,299,000 (~RM657) untuk variasi 3GB / 32GB dan Rp. 2,699,000 (~RM771) untuk variasi 4GB / 32GB.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd