Walaupun pasaran kriptowang merudum akhir-akhir ini, tetapi ia tidak menghentikan pelbagai produk yang mengintegrasikan sokongan untuknya. Kini, selepas Opera menguji integrasi dompet kriptowang pada pelayar web mereka dalam bentuk beta, hari ini pembangunnya telah pun melancarkan Opera Browser untuk Android versi stabil yang mengintegrasikan dompet kriptowang.
Dengan adanya integrasi ini, ia membolehkan para pengguna untuk menguruskan pelbagai kriptowang mereka dengan hanya satu aplikasi – selain turut menggunakannya untuk melayari web. Pelayar web Opera ini juga turut mengintegrasikan kemudahan untuk melakukan pembayaran menggunakan kriptowang pada laman yang menyokongnya.
Pengguna turut boleh menambah sokongan sekuriti tambahan melalui kata laluan mahupun menggunakan pengimbas cap jari.
Bagi anda yang menggunakan pelayar web Opera untuk Android, anda boleh mengemaskini aplikasi anda hari ini, dan menggunakannya hari ini.