Carian
Asus Akan Lebih Memfokuskan Penawaran Telefon Pintar Untuk Permua Dan Pengguna Mahir
December 14, 2018 Aman

Asus merupakan salah satu jenama yang tidak asing lagi dalam arena esukan melalui ROG, selain beberapa penawaran komputer berkuasa mereka. Walaupun popular dalam arena komputer, tetapi pada penawaran telefon pintar, Asus menghadapi cabaran daripada pelbagai pengeluar peranti seluruh dunia.

Asus sedia bersaing dengan peranti keluaran Xiaomi dan Oppo Realme pada peringkat penawaran asas, selain turut bersaing dengan jenama besar seperti Huawei dan Samsung pada peranti berkuasa. Hal ini menyukarkan mereka memenangi pegangan pasaran yang tinggi.

Terkini, Asus mengumumkan yang mana CEO sedia ada Asus, Jerry Shen akan meletakkan jawatan, dan akan digantikan dengan dua CEO baru pada 1 Januari 2019 kelak. Bersama-sama dengannya, sejumlah perubahan boleh dapat dijangka, termasuk pada penawaran telefon pintar.

Menyentuh ringkas mengenainya, Asus dilaporkan akan memfokuskan lebih kepada penawaran untuk permua dan juga pengguna mahir. Ini bermakna, Asus akan hadir dengan peranti berkuasa seumpama ROG Phone pada masa akan datang – berbanding memfokuskan kepada penawaran Zenfone.

Hal ini mungkin selari dengan kedudukan syarikat, dan semestinya Asus tidak ingin rugi dalam “peperangan berdarah” dalam arena telefon pintar yang disertai pelbagai jenama seluruh dunia.

Kita mungkin akan mendengar lanjut mengenai strategi baru Asus selepas CEO baru menyertai syarikat mereka kelak.

Komen