Bagi para pengguna yang menggunakan siri kad grafik AMD Radeon di dalam komputer dan laptop mereka, mereka pasti mengenali akan perisian AMD Radeon Software Adrenalin, sebuah perisian grafik yang hadir dengan pelbagai ciri yang boleh membantu mereka untuk mendapatkan prestasi maksima daripada kad grafik mereka.
Perisian Radeon Software Adrenalin 2019 baru sahaja diperkenalkan, dan ia hadir dengan sejumlah kemaskini dari pelbagai aspek, termasuklah penambahbaikan kepada prestasi kad grafik anda dan juga ciri-ciri baru yang akan memperbaiki mutu gaming anda secara menyeluruh.
Radeon Installer
Dengan pelancaran perisian Radeon Software Adrenalin 2019 ini, AMD hadir dengan ciri fail pemasangan Radeon Installer yang memudahkan pemasangan kemaskini baru yang bukan sahaja cepat dan mudah, tetapi juga menyimpan tetapan-tetapan anda sebelum ini.
Antaramuka pemasang ini juga dikemaskini untuk menjadi lebih bersih, dan lebih mudah untuk pengguna melihat peratusan pemasangan perisian Radeon Software yang baru.
Radeon Advisors
Radeon Advisors ialah ciri di dalam perisian Radeon Adrenalin Software 2019 yang memudahkan pengguna komputer untuk mendapatkan prestasi yang terbaik daripada komputer mereka dalam beberapa cara.
“Penasihat”-penasihat ini hadir melalui tiga aspek, iaitu Game Advisor, Settings Advisor dan juga Upgrade Advisor. Game Advisor menasihati pengguna untuk menggunakan tetapan-tetapan yang bersesuaian dengan spesifikasi komputer mereka untuk memastikan bahawa para pengguna mendapat prestasi yang terbaik.
Settings Advisor pula ialah pembantu yang memudahkan pengguna untuk mengakses pelbagai tetapan yang hadir melalui Radeon Software Adrenalin. Ia akan mengesan sistem anda, dan memberi cadangan tetapan apakah yang sesuai untuk digunakan oleh anda.
Jika anda rasa anda perlu menaik-tarafkan komputer anda kepada sesuatu yang lebih berkuasa, Upgrade Advisor akan mengesan sistem dan permainan-permainan komputer anda dan memberikan anda cadangan untuk bahagian-bahagian komputer yang boleh ditukar untuk meningkatkan lagi prestasi komputer tersebut.
Radeon Wattman
Radeon Wattman ialah sebuah perisian lewahjam untuk kad grafik siri AMD Radeon. Ia membantu pengguna untuk melewahjam kad grafik AMD Radeon mereka dengan cepat dan mudah, dan dengan perisian Radeon Software Adrenalin 2019, ia hadir dengan beberapa ciri baru yang menambahkan lagi jumlah ciri-ciri yang boleh digunakan untuk melewahjam kad grafik.
Diantara kemaskini yang hadir pada Radeon Wattman yang baru termasuklah kebolehan melewahjam automatik, pengawalan tetapan memori, voltan dan kelajuan kipas yang lebih terperinci.
Dengan pengawalan tetapan yang lebih terperinci, penggemar lewahjam tidak lagi perlu ke tetapan BIOS untuk mengubahsuai voltan, kelajuan kipas dan memori, dan melakukan semua perubahan tersebut melalui Radeon Wattman.
Bagi mereka yang hanya inginkan penambahbaikan prestasi yang cepat apabila bermain permainan komputer, ataupun sedang mengolah video dan sebagainya, Radeon Wattman juga hadir dengan ciri satu butang yang akan meningkatkan prestasi dengan cepat.
Radeon Chill
Apabila bermain permainan komputer, penggunaan elektrik juga akan meningkat kerana komponen-komponen komputer perlu menggunakan tenaga elektrik untuk menjana grafik yang berkuasa.
Ciri Radeon Chill diperkenalkan pada perisian Radeon Software Adrenalin pada tahun ini untuk mengurangkan penggunaan tenaga elektrik sewaktu sesi bermain permainan komputer.
Dengan perisian Radeon Software Adrenalin 2019, ciri Radeon Chill kini mempunyai kebolehan pengurangan tenaga yang lebih cekap, dan kini mampu menurunkan penggunaan tenaga sebanyak 20 peratus berbanding sebelum ini.
Teknologi Paparan
Teknologi paparan dan grafik berpisah tiada. AMD mempunyai teknologi AMD FreeSync yang diasaskan dari teknologi AdaptiveSync yang membantu memperbaiki mutu grafik komputer anda dengan mengurangkan isu screen tearing dan juga ciri-ciri menarik yang lain seperti HDR dan sebagainya.
Radeon Software Adrenalin terbaru memperkenalkan kemaskini untuk ciri FreeSync 2 HDR dan juga sokongan resolusi ultra-wide untuk Virtual Super Resolution yang memperlihatkan butiran yang lebih mendalam pada paparan dengan resolusi yang sangat lebar.
Radeon Overlay
Sebelum ini,apabila pengguna sudahpun berada di dalam permainan komputer, dan ingin mengubah beberapa tetapan pada kad grafik dan sebagainya, mereka perlu Alt+Tab keluar daripada permainan dan membuka perisian Radeon Software untuk menukar tetapan-tetapan tersebut.
Dengan ciri Radeon Overlay yang baru diperkenalkan ini, pengguna boleh mengubahsuai pelbagai tetapan Radeon Software melalui menu overlay tanpa perlu keluar daripada permainan mereka.
AMD ReLive
Bagi mereka yang gemar merakam atau menstrim video sesi bermain mereka, AMD ReLive turut hadir dengan beberapa ciri menarik, seperti babak main-semula 5-30 saat, dan mencipta overlay penstriman yang menarik dengan menekan beberapa butang sahaja.
Dalam pada itu, ReLive kini boleh mencipta fail GIF daripada video-video penstriman anda. Penstriman menggunakan ReLive kini disokong oleh lebih banyak lagi perkhidmatan seperti ReStream.io, Streamable dan sebagainya.
Dalam pada itu, anda juga boleh merakam strim anda dengan resolusi video dan kualiti audio yang lebih tinggi, disamping kebolehan untuk memain semula rakaman ringkas dengan cepat.
AMD Link
AMD Link mungkin hadir dengan kemaskini dan ciri-ciri baru yang paling menarik diantara kesemua kemaskini Radeon Software Adrenalin yang lain. Aplikasi ini diumumkan pada awal tahun ini untuk memudahkan pengguna untuk melihat butiran-butiran Radeon Software melalui peranti mudah-alih mereka.
Dengan kemaskini terbaru ini, AMD Link hadir dengan sambungan kepada komputer yang lebih stabil, disamping dapat melihat dan mengubahsuai tetapan Radeon Software Adrenalin yang lebih mendalam dan lebih mudah.
Dalam pada itu, pengguna juga boleh menggunakan arahan suara untuk mengaktifkan beberapa ciri Radeon Software Adrenalin menggunakan peranti mudah-alih anda.
Akan tetapi, satu ciri paling menarik yang kini hadir pada AMD Link ialah kebolehan untuk menstrim permainan komputer terus ke peranti mudah alih anda melalui sambungan internet WiFi.
Kami sempat melihat kebolehan ini diuji dengan permainan komputer Assassin’s Creed Odyssey, dan menurut AMD, jika anda mempunyai modem, komputer dan peranti yang berkuasa, ia mampu menyokong penstriman permainan setinggi 4K 60FPS.
Pihak AMD berkata lagi bahawa untuk prestasi yang terbaik, ciri ini hanya disokong apabila kedua-dua komputer dan peranti dengan aplikasi ReLive disambung ke rangkaian yang sama. Mereka juga menasihati menggunakan router dengan sambungan WiFi 802.11ac pada frekuensi 5GHz untuk sambungan dengan sela-masa yang rendah.
Perisian AMD Radeon Software Adrenalin 2019 ini hadir dengan lebih banyak ciri-ciri lagi yang akan boleh membuatkan pengalaman permainan komputer anda lebih menarik lagi, dan jika anda menggunakan sebuah komputer dengan sebuah kad grafik AMD Radeon, anda kini boleh memuat turun perisian tersebut dan mencubanya hari ini.
- Muat turun perisian AMD Radeon Software Adrenalin 2019