Carian
Huawei Freebuds 2 Pro Kini Dilancarkan – Menggunakan Teknologi Aliran Tulang
December 14, 2018 Fahim Zahar

Huawei Freebuds 2 Pro adalah set fon telinga nirwayar sebenar dari Huawei. Ia boleh dikatakan adalah pesaing kepada Apple AirPods, kerana rekaannya yang hampir sama. Berita mengenai Huawei Freebuds 2 Pro ini sudah lama didengari sejak pengumuman siri peranti Huawei Mate 20 lagi. Akhirnya, ia dilancarkan secara rasmi.

Walaupun dari segi rekaan ia kelihatan serupa dengan Apple AirPods, tetapi rekaannya sedikit berbeza dan lebih leper. Kemudian ia menggunakan teknologi yang tersendiri yang menarik, iaitu aliran tulang. Melalui teknologi aliran tulang ini, hasil audio adalah daripada gegaran melalui tulang rahang dan pipi. Ini bermakna, audio itu akan terus memasuki bahagian dalaman telinga tanpa melalui gegendang telinga. Kemudian, ia turut menyokong pengecasan nirwayar – jadi jika diselarikan dengan Huawei Mate 20 Pro, pengguna boleh mengecas Huawei Freebuds 2 Pro ini di atas peranti itu sahaja.

Untuk pengetahuan tambahan, Huawei Freebuds 2 Pro adalah pengganti kepada Huawei Freebuds yang dilancarkan pada bulan Mac lalu. Ia dilancarkan bersama-sama dengan siri Huawei P20. Huawei Freebuds 2 Pro dijual pada harga yang lebih murah berbanding Huawei Freebuds (~RM 765) iaitu RMB999 (~RM607). Ia dijual di China melalui laman TMall, Vmall, Sunning dan JD. Tidak pasti jika ia akan masuk ke pasaran Malaysia atau pun tidak.

Komen