Penggunaan pengimbas cap jari untuk tujuan sekuriti pada telefon pintar dan komputer riba telah menjadi suatu kebiasaan pada hari ini. Kini, teknologi yang lebih kurang sama turut dilihat diperluaskan dan dibawa ke arena automotif.
Hyundai hari ini mengumumkan yang mana mereka telah berjaya membangunkan sistem imbasan cap jari pintar untuk kenderaan – membolehkan pengguna nyah-kunci pintu kenderaan, selain menghidupkan enjin menggunakan hanya imbasan cap jari.
Hyundai dijangka menggunakan sistem ini pada 2019 Santa Fe yang akan dilancarkan di China pada suku pertama 2019 kelak.
Hyundai akan menggunakan pengimbas cap jari pada pintu yang menghantar data yang disulitkan untuk membukanya, selain turut menggunakan pengimbas cap jari pada butang menghidupkan enjin.
Hyundai mengatakan mereka menggunakan teknologi imbasan cap jari berasaskan kepada kapasitans (kemuatan) manusia, sekaligus membolehkan pengimbas berkenaan membezakan tahap elektrik antara bahagian jari, sekaligus mengelak godaman dan pencurian.
Hyundai mengatakan mereka menjadi terawal berjaya mengimplementasi penggunaan cap jari pada pintu kenderaan. Sebelum ini, ia menjadi salah satu cabaran untuk diimplementasikan disebabkan oleh perubahan cahaya, keadaan kenderaan luar yang terdedah kepada beberapa perkara, termasuk ketika mencuci kenderaan dan sebagainya.
Menariknya, sistem berkenaan boleh didaftarkan dengan cap jari beberapa pengguna berbeza – dan kenderaan akan dioptimasikan berdasarkan pengguna yang mendaftar masuk, seperti kedudukan kerusi, sudut cermin dan sebagainya.
Selain pengimbas cap jari, Hyundai juga turut menyertakan sensor ultrasonik dibelakang untuk mengelak sebarang objek atau kanak-kanak dibelakang yang mungkin tidak nampak.