CIMB Menjawab Beberapa Persoalan Mengenai Kad Debit Dan PayPal

CIMB Menjawab Beberapa Persoalan Mengenai Kad Debit Dan PayPal

Diterbitkan pada Dis 18, 2018 oleh .


CIMB semalam telah pun mengesahkan yang mana perkhidmatan perbankan internet mereka, CIMB Clicks mereka adalah selamat untuk transaksi. Lanjutan daripadanya, kini CIMB turut mengemaskini fail FAQ mereka berkenaan hal berkaitan, dan turut menyentuh mengenai persoalan berkaitan kad debit dan juga PayPal.

Bercakap mengenainya, CIMB mengatakan yang mana mereka mengesahkan urus niaga tanpa kebenaran daripada PayPal dan kad debit tidak berkaitan dengan CIMB Clicks.

Berikut merupakan antara persoalan yang dijawab oleh CIMB melalui FAQ mereka:

Adakah urus niaga tanpa kebenaran dari PayPal/Kad Debit seperti yang diutarakan beberapa pelanggan berkaitan dengan Clicks?
Kami mengesahkan yang perkara ini tiada kaitan dengan isu CIMB Clicks.

Mengapakah beberapa laman web seperti PayPal tidak memerlukan OTP?
Penggunaan OTP adalah dasar yang digunapakai oleh pemilik tapak e-dagang. Walaupun urus niaga dalam talian di laman web di Malaysia memerlukan OTP (dipanggil pengesahan 3D), banyak laman web antarabangsa seperti Facebook atau PayPal tidak memerlukan OTP (atau transaksi bukan 3D). Dengan membenarkan kedua-dua transaksi 3D dan bukan 3D adalah amalan industri biasa untuk semua bank dan tidak hanya unik kepada CIMB. Pelanggan juga boleh menggunakan Kad Debit mereka untuk melakukan transaksi dalam talian antarabangsa melalui internet dengan memilih (opt in) untuk menggunakan perkhidmatan ini.

Adakah terdapat sebarang peningkatan urus niaga tanpa kebenaran pada Kad Debit?
Pemantauan berterusan kami menunjukkan bahawa keadaan adalah pada tahap biasa. Pelanggan yang menyedari sebarang masalah pada penyata mereka perlulah melaporkannya melalui saluran rasmi kami. Jika terdapat sebarang masalah pada urus niaga bukan 3D, dan ianya telah melalui proses pengesahan, amaun transaksi akan dikreditkan semula ke dalam akaun pelanggan dalam masa 14 hari.

Pada masa yang sama, pengguna juga turut digalakkan membuat laporan kepada pihak berkuasa sekiranya anda terjejas dengan sebarang masalah berkaitan kehilangan wang dan sebagainya. Melalui laporan daripada Harian Metro semalam, ia dikatakan tiada laporan polis yang dilakukan berkaitan kes kehilangan wang selepas mengakses masuk ke portal CIMB Clicks seperti yang tular di media sosial.


TIPS & ULASAN