HTC boleh dikatakan semakin kurang popular dikalangan pengguna sejak akhir-akhir ini. Walaubagaimanapun, hal ini tidak menghentikan pihak HTC daripada terus hadir dengan penawaran mereka, termasuk untuk peranti berspesifikasi rendah-pertengahan.
Terkini, pengeluar dari Taiwan berkenaan dilihat telah pun melancarkan telefon pintar terbaru mereka, iaitu HTC Desire 12s. HTC Desire 12s hadir dengan skrin 5.7-inci dengan nisbah paparan 18:9, dijana menggunakan cip Snapdragon 435, memori sehingga 4GB RAM, dan storan sehingga 64GB.
Telefon pintar ini disasarkan kepada mereka yang inginkan ciri-ciri asas, selain pada masa yang sama menikmati rekaan peranti daripada HTC.
Untuk rakaman gambar, HTC menggunakan kamera 13-megapixel dibelakang, dan juga kamera hadapan 13-megapixel. Pengimbas cap jari diposisikan pada bahagian belakang peranti, dan telefon ini dijana bateri 3075mAh.
Buat masa ini, telefon pintar ini hanya dilancarkan di Taiwan sahaja, dimana ia ditawarkan dalam pilihan hitam, perak dan juga merah. Ia ditawarkan pada harga bermula TWD 5990, iaitu sekitar RM815.