Proses pemutihan laman Tumblr telah bermula hari ini seperti yang telah dijanjikan mereka pasca aplikasi ditarik dari Apple App Store. Kandungan lucah kini tidak lagi boleh diakses secara terbuka oleh pengguna dan akan digantikan dengan notifikasi ia dihalang oleh laman. Keputusan drastik ini diambil oleh Tumblr selepas sistem saringan mereka gagal menghalang kandungan lucah kanak-kanak.
Sistem pembelajaran mesin digunakan oleh Tumblr bagi menghalang kandungan lucah. Namun begitu ia masih membenarkan karya seni yang memaparkan insan tidak berpakaian atau untuk tujuan pelajaran. Dengan tindakan mereka mengharamkan terus kandungan lucah, mereka berharap insiden laman dihalang terus dari akses seperti yang berlaku di Indonesia tidak akan berulang.