Trend Micro Menjumpai Perisian Hasad Yang Terkandung Di Dalam Imej Yang Dipaparkan Di Twitter

Trend Micro Menjumpai Perisian Hasad Yang Terkandung Di Dalam Imej Yang Dipaparkan Di Twitter

Diterbitkan pada Dis 18, 2018 oleh .

Steganografi ialah teknik yang digunakan untuk menyimpan arahan di dalam sebuah fail yang lain. Ini termasuklah fail gambar, audio, video dan sebagainya.

Pengguna yang tidak tahu apa-apa boleh memuat-turun fail-fail ini tanpa mengetahui apa-apa mengenainya, dan pihak penggodam boleh mengaktifkan arahan yang terkandung di dalam fail-fail tersebut, dan seterusnya mencuri maklumat, ataupun melaksanakan arahan secara luaran tanpa kesedaran sesiapa.

Trend Micro baru-baru ini melaporkan bahawa mereka telah menemui dua kicauan di Twitter yang mengandungi imej meme yang mengandungi arahan-arahan steganografi ini. Perisian hasad ini, yang dinamakan TROJAN.MSIL.BERBOMTHUM.AA diaktifkan apabila imej-imej tersebut dimuat turun kedalam peranti atau komputer pengguna.

Perisian hasad yang hadir melalui imej ini membolehkan penggodam untuk mengambil rakaman skrin yang kemudiannya dimuatnaik ke laman Pastebin yang kemudiannya boleh diakses oleh penggodam tersebut.

Apa yang lebih menarik lagi, Trend Micro mengatakan bahawa perisian hasad tersebut tidak boleh dipadamkan selagi akaun Twitter yang menyebarkan perisian hasad tersebut tidak dibawa turun. Twitter pula baru-baru ini melaporkan bahawa mereka telah menurunkan akaun Twitter yang terbabit dengan pengedaran perisian hasad tersebut.

Nasihat kami mengenai isu-isu perisian hasad seperti ini ialah anda tidak menyimpan gambar-gambar di media sosial yang hadir melalui sumber-sumber yang tidak dikenali. Kemajuan teknologi juga bermaksud bahawa kini terdapat banyak cara-cara dimana penggodam boleh gunakan untuk mendapatkan akses kepada komputer dan peranti anda.


TIPS & ULASAN