Kita sudah tidak mampu lagi menentang kemasukan robot di tempat kerja. Ia telah menggantikan manusia di gudang dalam pengurusan bungkusan di Subang. Ia juga sudah mampu memasak ayam goreng di Jepun. Terkini sekali lagi robot telah dihasilkan di Jepun bagi menentang kesunyian di kalangan warga Jepun.
Lovot ialah robot yang dicipta untuk memberikan kasih sayang kepada pengguna. Bahkan nama Lovot adalah gabungan perkataan Love dan Robot dalam bahasa Inggeris. Ia akan menjadi panas apabila disentuh, tidur apabila dipeluk dan mengecam wajah pengguna. Robot ini dibangunkan oleh syarikat Groove X. Terdapat tiga roda pada bahagian bawah Lovot yang membolehkannya bergerak dengan bebas di dalam rumah.
Ia bercakap seperti seorang bayi dengan kemampuan menyimpan tayar untuk berdansa. Apabila kekurangan bateri ia akan kembali ke dermaga pengecasan dan menutupkan mata seakan tidur. Selain menghiburkan seisi keluarga, Lovot boleh berfungsi sebagai kamera keselamatan, kamera memantau bayi tidur dan robot yang mempelawa tetamu masuk ke rumah.
Lovot akan dijual tahun hadapan pada harga 349,000 Yen (~RM 12,948) sebuah dengan bayaran bulanan untuk perkhidmatan sebanyak 9,980 Yen (~RM 371). Ia mungkin tidak masuk akal bagi penduduk di Malaysia tetapi di Jepun terdapat ramai insan yang kesunyian kerana kesibukan kerja dan tiada masa untuk berinteraksi dengan manusia sebenar. Tahun ini hologram bekecerdasan buatan Gatebox juga mula dijual di Jepun sebagai isteri maya kepada golongan Otaku.