2018 boleh dikatakan sebuah tahun dimana Acer Malaysia banyak membawa masuk peranti-peranti baru untuk pasaran tempatan. 2019 bakal tiba dalam masa beberapa minggu sahaja lagi, dan Acer Malaysia baru sahaja mengumumkan siri peranti baru untuk pelanggan Malaysia.
Acer Swift 5 boleh dikatakan laptop produktiviti paling nipis dan ringan oleh Acer. Model terbaru laptopini dilengkapi dengan CPU Intel generasi kelapan, SSD sebesar 512GB, dan mempunyai rekaan rangka senipis 15.9mm dengan berat seringan 990g sahaja, tetapi masih mempunyai paparan bersaiz 15.6 inci yang memastikan anda boleh melakukan tugas-tugas anda tanpa perlu mengenyit mata.
Acer Swift 3 pula sebuah laptop yang sesuai bagi mereka yang inginkan sesuatu yang lebih padat. Laptop dengan paparan bersaiz 14 inci ini dikuasakan oleh CPU Intel generasi kelapan, memori DDR4 8GB dan storan SSD sebesar 512GB. Dalam pada itu, ia juga dilengkapi dengan kad grafik NVIDIA GeForce MX150 yang memberikannya kemampuan grafik yang sedikit lebih baik daripada cip grafik terbina.
Acer Aspire 5 pula sebuah laptop riadah dengan paparan bersaiz 15.6 inci yang dikuasakan oleh CPU Intel Core generasi kelapan, kad grafik NVIDIA GeForce MX150, dan juga hadir dengan ciri-ciri seperti pembesar suara Acer TrueHarmony, Acer Color Intelligence dan sebagainya untuk memberi pengguna pengalaman beriadah dengan komputer yang mendalam.
Dari segi desktop pula, Acer mengumumkan kehadiran desktop Acer Predator Orion 3000. Komputer ini dikuasakan oleh pilihan CPU Intel Core i5 dan Core i7, memori DDR4 sehingga 8GB, storan SSD 128GB dan juga pilihan kad grafik NVIDIA GeForce GTX 1060 ataupun GeForce GTX 1050 Ti.
Beberapa daripada peranti-peranti ini sudahpun memasuki pasaran Malaysia. Tanda harga untuk peranti-peranti ini adalah seperti berikut:
- Acer Swift 5 – Akan datang
- Acer Swift 3 (Intel Core i5, 256GB SSD) – RM3599
- Acer Swift 3 (Intel Core i7, 512GB SSD) – RM4399
- Acer Aspire 5 (Intel Core i5) – RM2699
- Acer Aspire 5 (Intel Core i7) – RM3599
- Acer Predator Orion 3000 (Core i5, GTX 1050 Ti) – RM3999
- Acer Predator Orion 3000 (Core i7, GTX 1060) – RM5399