Huawei Matebook 13 telah dilancarkan minggu ini sebagai komputer riba padat mereka yang dilengkapi dengan kad grafik NVIDIA GeForce MX150 2GB. Sebelum ini hanya Matebook X Pro sahaja hadir dengan kad grafik ini. Dari segi rekaan ia mengekalkan rekaan Matebook X dengan dua port USB-C tetapi dengan penawaran warna baru Cherry Powder.
Dari segi spesifikasi ia dilengkapi skrin 13″ IPS LCD dengan resolusi 2160×1440 pixel, cip pemproses sehingga Intel Core i7-8565U, memori 8GB RAM LPDDR3, storan 512GB NVMe PCIe dan bateri sebesar 42 Wh. Bateri ini boleh dicas dengan pantas menggunakan pengecasan 65W menerusi sambungan USB-C.
Terdapat sokongan sistem perkongsian terkini Huawei Share 3.0 secara NFC dan audio Dolby Atmos. Menurut Huawei sistem ini amat pantas di mana pemindahan fail sebesar 1GB boleh dilakukan dalam masa 35 saat. Papan kekunci masih lagi berlampu dengan pad sesentuh yang besar. Pengimbas cap jari disertakan pada butang kuasa yang terletak bersebelahan papan kekunci. Hanya dua port USB-C disertakan dengan satu bicu audio. Di China harga jualan Huawei Matebook 13 bermula dari RMB5699 (~RM3477) dengan konfigurasi Intel Core i5, 8GB RAM dan 256GB SSD.