Carian
Puluhan Syarikat China Kini Memberikan Subsidi Kepada Pekerja Untuk Membeli Peranti Huawei
December 25, 2018 Effi Saharudin

Ketua pegawai kewangan Huawei, Meng Wanzhou telah ditahan di Kanada dan kini tidak dibenarkan meninggalkan negara tersebut bagi menanti permohonan ekstradisi ke Amerika Syarikat. Beliau dituduh terlibat dalam penjualan teknologi ke Iran yang kini di bawah sekatan PBB dan Amerika Syarikat. Penahanan beliau menimbulkan kemarahan di China yang merasakan ia adalah bermotifkan politik.

ChinaNikken Asian Review melaporkan sebanyak 20 syarikat di China kini  menawarkan pelbagai subsidi kepada pekerja untuk membeli peranti Huawei sebagai tanda sokongan. Ini adalah cara untuk menggalakkan pembelian peranti keluaran China dan memboikot peranti syarikat dari Amerika Syarikat seperti Apple.

Shanghai Youluoke Electronic and Technology memberikan subsidi pembelian dua peranti Huawei kepada setiap pekerja manakala Shenzhen Yidaheng Technology menawarkan subsidi 18% untuk pembelian peranti Huawei dan ZTE. Sebuah syarikat arak di provinsi Henan pula menawarkan minuman keras bernilai 30% harga peranti Huawei yang dibeli.

Sebelum ini kami melaporkan syarikat Menpad yang membekalkan skrin kepada Huawei akan mendenda pekerja yang didapati menggunakan iPhone. Nilai denda ialah bersamaan dengan nilai iPhone yang dibeli. Tindakan memboikot Apple ini dilihat sebagai tindakan balas patriotik rakyat China kepada Amerika Syarikat yang dilihat cuba melakukan peperangan perdagangan.

Selain China, rakyat Turki juga menunjukkan protes dengan memusnahkan iPhone Ogos lalu selepas sekatan ekonomi Amerika Syarikat, Malahan Presiden Erdogan menggalakkan rakyat menyokong Samsung dan peranti tempatan Vestel sebagai alternatif kepada Apple.

Komen