Cari @ Amanz

Sekiranya anda menonton atau melayari podcast Sembang Lebat Amanz, anda pasti tahu saya telah berubah sepenuhnya kepada platform iOS sejak November lalu. Sebab utama saya kini menggunakan iPhone XS Max sebagai peranti kegunaan harian adalah kerana sistem Face ID yang tidak boleh ditandingi peranti Android. Memang sistem pengecaman wajah wujud pada Android (seperti Huawei Mate 20 Pro  dan Xiaomi Mi 8 Pro) tetapi integrasi menyeluruh Face ID masih jauh di hadapan Android.

Pelbagai aplikasi iOS menyokong Face ID untuk log masuk dan sebagainya berbanding pada Android dimana ia agak terhad kepada menyahkunci skrin. Face ID juga kini lebih pantas berbanding yang ditemui pada iPhone X sebelum ini. Tetapi paling menakjubkan hanya Face ID mampu mengenali wajah saya walaupun selepas menukar kaca mata dan membela janggut serta misai. Sistem nyahkunci pada Android pada waktu ini masih belum pintar untuk mempelajari wajah pengguna mengikut peredaran masa dan perubahan kaca mata.

Sungguhpun begitu Face ID pada iPhone mempunyai satu kelemahan yang ketara di mana ia tidak boleh digunakan apabila peranti berada pada posisi mendatar. Saya memandu dengan iPhone diletakkan pendakap telefon pada posis mendatar. Ini adalah kerana saya lebih gemar menggunakan Waze, Spotify, Netflix dan YouTube pada kedudukan ini. Namun apabila peranti terkunci, saya perlu menyendengkan kepala bagi membolehkan Face ID mengenali wajah.

Adalah tidak masuk akal Face ID pada iPhone masih tidak mampu berfungsi pada kedudukan mendatar sedang ia telah diaktifkan pada iPad Pro baharu. Mungkin ada yang mengatakan ini ialah masalah kecil. Anda mungkin betul di sini tetapi ia menyukarkan penggunaan peranti.

Huawei Mate 20, Mate 20 X dan OnePlus 6T adalah tiga contoh peranti Android yang telah saya cuba boleh melakukan pengecaman wajah pada kedudukan mendatar. Jika tiga peranti Android yang lebih “murah” jika dibandingkan dengan iPhone XS Max boleh melakukannya, apakah alasan Apple?

Touch ID menjadi ikutan pengeluar lain kerana ia mengimbas cap jari dari pelbagai arah (360 darjah) maka Face ID yang menggantikannya harus mempunyai kemampuan yang sama. Huawei Mate 20 X ialah satu-satunya peranti di pasaran sekarang yang boleh mengecam wajah dari semua orientasi. Sistem pengecaman wajah Huawei Mate 20 Pro terhad kepada menegak dan sisi tetapi tidak berfungsi apabila peranti terbalik. Sekali lagi, jika Huawei boleh mengapa Apple tidak boleh?

Saya yakin Face ID boleh diaktifkan pada posisi mendatar dengan hanya kemas kini perisian. Dari beberapa artikel yang saya baca, sistem Face ID iPhone XS Max adalah sama seperti yang digunakan pada iPad Pro baharu.

Harapan kami kemas kini perisian akan diberikan Apple kelak. Kerisauan kami ialah Apple mengeluarkan iPhone 2019 dengan fungsi ini tetapi kemudian mengatakan ia tidak akan disokong pada model lama. Sebagai syarikat yang mempelopori sistem imbasan wajah secara tiga dimensi, kami hanya mampu menunggu.

Kepada pembaca Amanz yang menggunakan iPhone, apakah pula fungsi idaman anda selain harga peranti lebih mampu milik atau pengecas pantas disertakan dengan setiap pembelian? Kongsikan pendapat anda di bawah.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd