Carian
Samsung Remote Access Akan Membolehkan Anda Mengakses Komputer Melalui Televisyen
December 28, 2018 Aman

Samsung hari ini mengumumkan yang mana televisyen pintar keluaran 2019 mereka akan mengintegrasikan sebuah ciri baru, dinamakan Remote Access. Melaluinya, ia akan membolehkan anda mengakses komputer anda secara maya, dan mengawalnya menggunakan papan kekunci.

CIri ini berfungsi seumpama beberapa perkhidmatan “Remote” yang lain. Samsung sendiri menjayakannya hasil kerjasama dengan pihak VMware yang terkenal dengan penawaran Virtual Desktop Infrastructure mereka.

Samsung Remote Access

Dengan ciri Remote Access ini, ia menggunakan sokongan rangkaian IP untuk berhubung ke PC, atau melalui Wifi Direct untuk berhubung ke komputer riba atau telefon pintar. Seterusnya, anda turut boleh menghubungkan papan kekunci dan tetikus ke televisyen anda, dan menggunakan sejumlah aplikasi terus pada kaca televisyen. Berkemungkinan besar, tidak kesemua aplikasi atau perisian yang disokong melalui ciri ini, dan mungkin senarai lengkap kelak akan dikeluarkan oleh Samsung.

Pengenalan ciri ini juga sekaligus akan membolehkan pengguna menikmati pelbagai permainan video dari komputer mereka terus pada kaca televisyen di ruang tamu.

Samsung mengatakan ciri Remote Access ini akan diperkenalkan pada peringkat global, dan bukan pada beberapa buah negara sahaja.

Mungkin kita akan melihat demo penggunaan Remote Access pada Samsung Smart TV 2019 dalam masa beberapa minggu lagi.

Komen