Pembantu maya kerap saya gunakan setiap hari untuk melakukan carian serta membaca berita. Siri ialah ialah pembantu maya Apple yang telah wujud sejak 2011 dan kini menyokong lebih 20 bahasa dan antaranya ialah Hebrew. Di Israel Apple kini disaman oleh Galit Gura-Eini kerana didakwa menggunakan suara beliau untuk Siri tanpa kebenaran.
Galit Gura-Eini ialah seorang personaliti radio dan suara beliau telah digunakan sebagai suara rasmi Waze di Israel. Beliau melakukan rakaman suara untuk Nuance Communications Inc pada tahun 2007 dengan perjanjian ia digunakan untuk tujuan tertentu sahaja.
Di dalam writ saman yang difailkan. wanita ini berkata suara beliau kini digunakan oleh pengguna Siri untuk mengeluarkan kata-kata kesat dan ungkapan yang memalukan. Ini dikhuatiri boleh merosakkan imej beliau kerana suara Galit Gura-Eini dikenali ramai di Israel.
Beliau telah meminta Apple untuk tidak lagi menggunakan suara beliau tetapi permintaan ini ditolak. Apple berkata frasa suara Galit Gura-Eini diperoleh secara sah menerusi Nuance dan beliau tidak mempunyai hak ke atas suara yang telah dibeli serta beliau telahpun menerima bayaran ke atas penggunaannya. Sungguhpun begitu Galit Gura-Eini meminta bayaran ganti rugi NIS 250,000 (~RM 275,999) dari Apple.