Cari @ Amanz

Lenovo ThinkPad X1 Yoga 2018 ialah antara komputer riba kegemaran kami tahun lalu. Kombinasi spesifikasi yang baik, kemampuan berubah menjadi sebuah tablet, stylus terbina dan papan kekunci terbaik yang pernah kami gunakan menjadikannya pilihan kepada insan yang memerlukan komputer yang boleh diandalkan di tempat kerja.

Di CES 2019, Lenovo ThinkPad X1 Yoga generasi ke empat telah diperlihatkan secara rasmi. Ia kini hadir dengan tubuh yang diperbuat sepenuhnya dari bahan aluminium. Apakah pembaharuan yang diperkenalkan berbanding model terdahulu? Berikut ialah pandang pertama kami untuk Lenovo ThinkPad X1 Yoga 2019.

Spesifikasi Dan Rekabentuk

Lenovo ThinkPad X1 Yoga 2019
Skrin 14″ IPS LCD WQHD sesentuh
Pemproses Intel Core i7/i5
Grafik Intel UHD Graphics 620
RAM Sehingga 16 Gigabyte LPDDR3
Muatan Dalaman Sehingga 2 TB SSD PCIe
Kamera 720P + Infra Merah
I/O 2 X Thunderbolt 3 USB-C, 2 X USB-A 3.1.
bicu audio
HDMI Ya
Pembaca Kad Tiada
Imbasan Cap jari, Wajah (Windows Hello)
SIM  Tiada
Bateri 51 Wh
Harga Jualan Bermula dari RM 7900*

Skrin 14″ digunakan dengan pilihan resolusi sehingga 4K UHD dengan keterangan mencecah 500 nits bagi memaparkan kandungan Dolby Vision HDR. Skrin yang digunakan mempunyai sokongan sesentuh bagi memudahkan lagi penggunaan sistem operasi Windows 10 di dalam mod tablet.

Kerana ia sebuah peranti Yoga, skrin ini boleh diputar sehingga 360 darjah. Engsel yang digunakan mempunyai saiz yang sama seperti modle tahun lalu. Walaupun bersaiz agak kecil, ia cukup teguh untuk memastikan skrin tidak bergegar ketika pengguna menaip.

Keterangan dan ketajaman skrin adalah amat memuaskan tanpa masalah silau yang ketara. Dengan sistem ThinkPad PrivacyGuard pula, privasi pengguna dapat dijaga kerana menghalang pihak ketiga dari melihat paparan skrin dari sisi. Bagi pengguna korporat ini ialah fungsi yang diperlukan bagi menjaga rahsia syarikat.

Sebuah stylus ThinkPad Pen Pro terbina disertakan dengan setiap pembelian lengkap dengan tempat simpanannya yang tersendiri pada bahagian sisi kanan peranti. Ia menggunakan teknologi Wacom AMS yang tidak memerlukan bateri luaran. Bateri terbina dicas semula setiap kali ia disimpan semula. Kerana tiadanya keperluan bateri AAA, saiz stylus ini lebih kecil sekaligus selesa digunakan.

Pemproses sehingga Intel Core-i7 generasi kelapan dipadankan dengan memori sehingga 16GB LPDDR3 dan storan sehingga 2TB SSD PCIe. Tiada kad grafik disertakan dan hanya cip grafik Intel UHD Graphics 620 sahaja digunakan. Ini adalah kerana ThinkPad X1 Yoga 2019 bukanlah sebuah komputer riba untuk permainan video. Ini sebenarnya adalah spesifikasi yang sama dengan ThinkPad X1 Yoga 2018. Harus kami tekankan hanya storan SSD boleh dinaik taraf tetapi RAM telah dipateri kepada papan induk.

Pilihan I/O adalah 2 x USB 3.0, 1 x HDMI 1.4 dan 2 x USB-C Thunderbolt 3. Terdapat juga sebuah dermaga untuk kunci Kensington pada sisi kanan. Dengan kesemua I/O yang disertakan, pengguna tidak perlu mengangkut penyesuai apabila di luar pejabat. Memandangkan ThinkPad mensasarkan golongan profesional, kesemua pilihan I/O yang diberikan adalah cukup untuk keperluan harian.

Sebuah bateri sebesar 51 Wh Li-ion membekalkan kuasa kepada komputer riba ini. Ia dicas menerusi port USB-C menggunakan pengecas 65W. Komputer riba ini turut menyokong pengecasan pantas. Bateri kali ini sebenarnya lebih kecil berbanding 54Wh tahun lalu.

Kamera web yang digunakan hanya menyokong rakaman 720P sahaja. Sekali lagi tiada penambahbaikan berbanding model terdahulu. Hanya kali ini sistem penutup lensa ThinkShutter kini boleh digunakan pada model yang dilengkapi kamera infra merah yang menyokong sistem pengecaman wajah Windows Hello. Penutup fizikal ini memastikan jika kamera digodam sekalipun, penggodam masih tidak mampu melihat. Kesemua komponen ini disumbatkan kepada kerangka nipis yang hanya seberat 1.35 kilogram sesuai dengan kategorinya sebagai sebuah komputer riba nipis dan ringan.

Rekabentuk

Sekilas pandang tiada perubahan drastik dilakukan pada model 2019. Tetapi sebenarnya perubahan besar pada bahan binaan dilakukan dengan keseluruhan tubuh diperbuat daripada sekeping bongkah aluminium. Ini menjadikannya lebih kukuh dan kali ini hadir dalam pilihan warna Iron Grey.

Kerana aluminium adalah lebih berat berbanding bahan gentian karbon hibrid, Lenovo terpaksa mengecilkan saiz ThinkPad X1 Yoga. Secara keseluruhan ia kini 11% lebih nipis dan 17% lebih kecil. Walaupun tiada lagi bahan gentian karbon hibrid, komputer riba ini masih lagi melepasi piawaian ketenteraan MIL STD. Ia tahan hentakan, suhu, cecair dan juga debu.

Rekaan tubuh adalah berkotak, rata dan amat konservatif. Sekali lagi ini dilakukan bagi memenuhi keperluan imej korporat yang amat sinonim sekali dengan ThinkPad. Pada bahagian penutup terdapat sebuah logo ThinkPad dengan titik huruf I yang menyala dalam warna merah apabila komputer dihidupkan. Pada bucu bertentangan berhampiran dengan engsel terdapat pula logo X1.

Sebuah lagi perubahan besar yang dilakukan ialah sistem pembesar suara yang kini dihasilkan dengan kerjasama Dolby. Pembesar suara Dolby Atmos ini bukan sahaja ditala oleh Dolby malahan menerima input dari mereka. Empat pembesar suara digunakan dengan dua di bahagian bawah dan dua lagi disusun seakan sebuah soundbar di antara papan kekunci dan skrin. Dengan konfigurasi ini, audio yang lebih menyerlah dapat dinikmati oleh pengguna. Satu kelemahan ThinkPad sebelum ini adalah kualiti audio yang kurang memuaskan kerana dua pembesar suara yang menembak ke bawah.

Oleh sebab sistem audio soundbar ini, lohong udara untuk sistem penyejukan kini dipindahkan ke sisi kanan. Kami akui kami kurang menggemari lokasi ini kerana udara panas yang dihembuskan terus pada tangan kanan apabila kami menggunakan tetikus. Pada model tahun lalu lohong udara terletak pada bahagian belakang di antara skrin dan engsel. Dalam konfigurasi ini udara panas dihembuskan menjauhi pengguna. Ini mungkin perubahan rekaan yang paling kurang kami gemari pada ThinkPad X1 Yoga 2019.

Skrin pula masih mengekalkan rekaan dengan bezel yang tebal. Ini mungkin tidak mengikut trend yang boleh ditemui pada Dell XPS 13 dan Huawei MateBook X Pro tetapi sebenarnya bersebab. Memandangkan ThinkPad X1 Yoga boleh berubah menjadi mod tablet, bezel yang masih agak tebal ini memudahkannya dipegang tanpa jari menghalang paparan skrin.

Secara keseluruhan rupa luaran ThinkPad mungkin tidak seksi berbanding pesaing di pasaran tetapi ini adalah kerana keperluannya untuk kelihatan seperti sebuah peranti untuk kegunaan formal dan profesional.

Papan Kekunci

Kekuatan sebenar ThinkPad terletak pada papan kekuncinya yang kami rasakan terbaik di dalam kelasnya. Rekaan butang smiley yang dipatenkan ini mempercepatkan kelajuan menaip. Ia tidak menyakitkan jari kerana mempunyai jarak travel yang dalam. Pada model 2019, papan kekunci kini terletak di dalam “parit” berbentuk empat segi.

Ini dilakukan bagi memastikan papan kekunci masih mempunyai jarak travel yang dalam tetapi masih boleh dimasukkan ke dalam kerangka yang nipis. Seperti yang kami katakan beberapa perenggan di atas, model tahun ini adalah 11% lebih nipis berbanding model 2018. Tetapi pada waktu yang sama kekunci tidak lagi menjadi rata apabila skrin diputarkan 360 darjah.

Terdapat sokongan lampu berwarna putih untuk setiap kekunci. Menaip pada waktu malam menjadi amat mudah kerana keterangan yang memuaskan serta tidak menyilaukan mata. Terdapat tiga tetapan lampu kekunci boleh dipilih iaitu dimatikan, sederhana atau paling terang.

Satu perkara yang harus diketahui oleh mereka yang tidak pernah menggunakan sebuah ThinkPad ialah kedudukan butang Control dan Function yang terbalik berbanding yang ditemui pada kekunci standard. Pengguna boleh mengubah tetapan dua kekunci ini menerusi tetapan Bios atau menggunakan perisian Keyboard Manager Lenovo sekiranya perlu.

Pad Sesentuh Dan Puting Navigasi

Puting navigasi berwarna merah pada papan kekunci ialah sebuah lagi rekaan klasik ThinkPad sejak 27 tahun yang lalu. Ia dicipta ketika zaman pad sesentuh komputer riba tidak mempunyai tahap kejituan yang tinggi. Walaupun pad sesentuh moden kini adalah jauh lebih baik, puting navigasi dikekalkan kerana ia adalah sebahagian identiti ThinkPad yang tidak boleh ditinggalkan.

Pad sesentuh pula masih bersaiz sederhana dan tidak mengikut trend gergasi yang dimulakan oleh Apple MacBook Pro dan kemudiannya Huawei MateBook X Pro. Namun begitu pad sesentuh yang disertakan turut mempunyai tiga butang kawalan pada bahagian atas. Sekali lagi rekaan klasik dikekalkan kerana ia identiti ThinkPad. Sebelum ini kami merasakan tiada keperluan untuk tiga butang ini tetapi selepas mengulas ThinkPad X1 Yoga 2018, kami mula memahami mengapa ia diberikan kerana membantu proses suntingan gambar di dalam program seperti Photoshop. Secara keseluruhan pad sesentuh yang digunakan adalah selesa digunakan walaupun saiznya lebih kecil berbanding rekaan pad sesentuh semasa.

Kesimpulan

Ikhlas kami katakan sebenarnya Lenovo ThinkPad X1 Yoga 2019 ini hanyalah model dengan penambahbaikan yang kecil jika dibandingkan dengan model tahun lalu. Pemproses, RAM, storan dan fungsi asas tidak menjalani proses perubahan yang drastik. Perubahan hanya dilakukan secara berperingkat dengan tahun ini tubuh komposit digantikan pula dengan tubuh aluminium seperti sebuah MacBook Pro.

Saiz komputer riba sedikit mengecil dan begitu juga dengan ketebalannya. Kemampuan audio adalah perubahan yang paling ketara kerana rekaan seakan soundbar dengan empat pembesar suara yang direka dengan kerjasama Dolby. Papan kekunci juga kini tenggelam di dalam “kolam” yang tersendiri. Ini dilakukan bagi mengurangkan ketebalan tubuh komputer riba. Kami menyukai rekaan baru ini namun merindui rekaan papan kekunci yang tersimpan sepenuhnya apabila skrin diputar 360 darjah. Ia mungkin fungsi paling menarik model Yoga kerana memastikan papan kekunci tersimpan kemas apabila di dalam mod tablet.

Tubuh aluminium mungkin lebih tahan lasak tetapi ia perubahan yang dilakukan tidak semuanya positif. Kekurangan paling ketara ialah lohong penyejukan yang kini terletak pada sisi kanan. Ia menghembuskan udara ke arah tangan kanan sekiranya tetikus digunakan dan anda tidak kidal. Keselesaan mungkin terjejas kerana dari pengelaman peribadi, hembusan udara panas dari pemproses apabila menggunakan program yang berat adalah agak menjengkelkan.

Lenovo ThinkPad X1 Yoga 2019 akan mula dijual bermula Jun 2019. Kami akan cuba mengulas ya apabila ia memasuki pasaran tempatan kelak.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd