Kebelakangan ini pelbagai jenama telefon pintar berlumba-lumba untuk teknologi pengimejan. Banyak jenama mempromosi keupayaan kamera mereka bagi menandingi DSLR sedangkan ia mungkin tidak menjadi satu keperluan pun untuk pengguna. Sedar atau tidak, fungsi rakaman imej boleh dikatakan lebih kepada kehendak berbanding keperluan.
Apa yang diperlukan pengguna adalah ketahanan waktu operasi yang lebih lama. Bagi tujuan ini, terdapat telefon pintar yang menyertakan bateri dengan kapasiti yang sangat tinggi. Namun apabila kapasiti bateri tinggi, ia juga menjadi cabaran buat pengilang untuk mengekalkan saiz peranti tersebut supaya kekal kecil, dan buat pengguna bagi mengecasnya dengan pantas.
Justeru, hadir fungsi pengecasan pantas pada telefon pintar bagi mengatasi masalah ini.
Apa Perlunya Pengecasan Pantas.
Pengecasan pantas adalah lebih diperlukan dari kapasiti bateri yang lebih besar. Ini kerana pengecasan pantas mampu menjimatkan masa pengguna, dan pengguna tidak perlu menyambungkan peranti dengan bank kuasa pada masa yang lama. Tidak mengira kapasiti bateri baik besar atau kecil, pengecasan pantas mampu memberikan kuasa yang banyak sepantas 5-10 minit.
Terdapat beberapa pengecasan pantas yang telah diperkenalkan oleh jenama-jenama popular dengan namanya yang tersendiri. OnePlus dahulu hadir dengan Dash Charge, namun kini sudah menamakannya sebagai Warp Charge. Samsung pula hadir dengan Adaptive Fast Charging manakala Qualcomm dengan Quick Charge. Malah Apple sendiri telah hadir dengan fungsi tersebut, namun menghendaki pengguna untuk menggunakan pengecas USB-C yang diiktiraf dan tidak menyertakannya sekali dengan iPhone.
Namun takhta pengecasan paling pantas setakat ini adalah dari OPPO iaitu SuperVOOC.
Selaju Mana SuperVOOC Berbanding Yang Lain ?
“Laju-laju nak pergi mana?” Untuk telefon pintar, ayat ini membolehkan pengguna melakukan lebih banyak perkara dengan cepat berbanding membazirkan masa menempel di dinding bagi mendapatkan kuasa pengecasan, atau mengusung bank kuasa bersama telefon pintar.
Teknologi SuperVOOC dari OPPO membolehkan pengecasan peranti dilakukan sehingga 100% dalam tempoh masa ~35 minit sahaja. Ini lebih laju berbanding:
- Huawei P20 Pro: 0-80% – 30 minit menggunakan Huawei Supercharge.
- OPPO R17 Pro: 0-98% – 30 minit menggunakan SuperVOOC Flash Charge namun kelajuan pengecasan tidak direndahkan selepas bateri mencapai 90%.
- OnePlus 6T : 0-50% – 30 Minit menggunakan Warp Charge.
Meskipun terdapat beberapa peranti yang mengecas dalam masa lebih singkat untuk mencapai tahap 50%, pengecasan tersebut akan menjadi perlahan selepas itu, berbeza dengan SuperVOOC.
Justeru, tiada gunanya membeli peranti-peranti canggih namun tidak mempunyai pengecasan pantas. Peranti terkini yang menyertakan pengecasan pantas adalah OPPO R17 Pro yang baru sahaja memasuki pasaran November 2018.
OPPO R17 Pro – Dengan SuperVOOC Yang Mengecas Kepada 100% Dalam Masa 35 Minit
OPPO R17 Pro adalah ahli baru dalam siri keluarga R, yang memfokuskan kepada penawaran berspesifikasi tinggi dengan fungsi-fungsi yang terbaik di pasaran. Bagi melengkapi pengecasan pantas SuperVOOC, ia mempunyai kapasiti bateri 3,700 mAh yang menjanjikan penggunaan seharian.
Ia dikuasakan oleh cip pemprosesan Snapdragon 710 dan dengan memori 8GB RAM. Malah storan yang disediakan cukup besar, sebesar 128 GB, membolehkan pengguna menyimpan pelbagai fail, atau gambar serta video.
Kebolehan fotografi pada OPPO tidak dapat disangkal lagi dan pada OPPO R17 Pro, ia menyertakan kamera hadapan 25MP bagi tujuan selfie yang lebih berkualiti dan cantik, malah menyokong penggunaan O-Moji dan juga mempunyai fungsi Portrait membolehkan anda mengambil gambar selfie dengan kesan kabur pada latar belakang subjek.
Melengkapkan keupayaan kamera hadapan yang canggih, adalah tri-kamera di bahagian belakang dengan sensor utama 12MP f/2.4 / f/1.5, sensor 20MP f/2.6 untuk kebolehan bokeh, dan sensor Time-of-Flight (ToF) untuk pengimejan 3D yang lebih baik. Kamera ini juga dilengkapi dengan penstabil imej optikal, dan membolehkan pengguna merakamkan gambar pada keadaan yang kurang pencahayaan tanpa memerlukan sebarang tripod.
Antara fungsi lain yang terdapat pada OPPO R17 Pro termasuklah paparan AMOLED 6.4-inci FullHD+ bertakuk pada nisbah 19.5:9, beroperasi menggunakan Android 8.1 Oreo yang mempunyai antaramuka ColorOS 5.2, dan pengimbas cap jari dibawah skrin.
Telefon pintar OPPO R17 Pro ini dijual pada harga RM 2,699 dan dengan teknologi pengecasan pantas yang terpantas di pasaran buat masa ini, memilikinya membolehkan anda tidak membazir masa demi pengecasan. Bila ada yang bertanya ‘Laju-laju nak pergi mana’, jawab sahaja laju-laju untuk pergi ke masa hadapan.
Penafian: Advertorial dari OPPO Malaysia