Di pejabat saya menggunakan dua monitor yang disambung kepada sebuah Mac. Dengan konfigurasi seperti ini, tugas menulis dan menonton Netflix di tempat kerja menjadi lebih mudah dan selesa. Namun begitu dua monitor ini mengambil ruang yang besar di meja kerja. Kami tidak mempunyai cagak VESA kerana harga jualannya yang mahal. Untuk insan yang inginkan monitor dengan ruang tapak meja yang kecil, Samsung Space Monitor telah diperlihatkan.
Monitor sebesar 32″ dan 27″ ini mempunyai tapak ragum yang kemudian disepit pada tepi meja. Leher Space Monitor pula boleh digerakkan ke hadapan dan ke belakang untuk keselesaan pengguna. Monitor 32″ menyokong resolusi 4K manakala 27″ hanya sekadar QHD. Tiada maklumat lebih lanjut mengenai tarikh dan harga jualan buat masa ini. Ia hanya akan didedahkan ketika acara CES minggu depan.