Cari @ Amanz

Dengan acara CES 2019 menjelang pada minggu hadapan, kita akan melihat pelbagai produk dan peranti diperkenalkan menyasarkan khusus untuk para pengguna. Kini, memulakannya adalah Dell dengan pengenalan komputer riba terbaru mereka, iaitu Latitude 7400 2-dalam-1.

Komputer riba ini hadir dengan beberapa sensor tambahan, selain turut menawarkan masa penggunaan bateri yang sangat lama berbanding dengan yang lain.

Dell Latitude 7400

Dell Latitude 7400 2-dalam-1 hadir dengan skrin 14-inci dengan paparan HD penuh. Menariknya, komputer riba yang menggunakan sokongan skrin sentuh ini turut hadir dengan sokongan “Super Low Power”, sekaligus lebih menjimatkan tenaga. Untuk ketahanan, Dell menggunakan kaca Gorilla Glass 5 untuk skrin berkenaan.

Melengkapkan komputer riba ini juga adalah cip Intel Core generasi ke-8, memori sehingga 16GB LPDDR3, storan sehingga 2TB SSD, dan turut menyertakan sokongan speaker stereo bersama dengannya.

Dell Latitude 7400 ini juga turut hadir dengan sebuah sensor tambahan yang boleh mengenal pasti sama ada anda berhampiran dengan komputer riba berkenaan atau sebaliknya. Ia akan mengaktifkan skrin dan log masuk secara automatik melalui sokongan Windows Hello sekiranya anda berhampiran – sekaligus lebih memudahkan pengguna berbanding perlu menekan butang kuasa dan sebagainya.

Dell Latitude 7400

Beberapa ciri tambahan yang disertakan pada komputer riba ini adalah sokongan pengimbas cap jari, dan pembaca Smart Card.

Dell menawarkan dua variasi pilihan bateri melalui komputer riba ini – sama ada 52Wh atau 72Wh. Versi 72Wh menawarkan sokongan penggunaan selama 24 jam lamanya mengikut penanda aras MobileMark 2014.

Buat masa ini, harga jualan tempatan masih tidak diketahui lagi. Dell menyasarkan ia akan ditawarkan bermula Mac 2019 kelak. Mungkin kita akan mendengar lanjut mengenainya dalam beberapa bulan lagi.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd