Samsung dan Apple hari ini membuat kejutan, apabila Samsung kini mengumumkan sokongan untuk iTunes Movies, iTunes TV Shows dan juga Apple AirPlay 2 untuk televisyen pintar terbaru mereka, Samsung Smart TV 2019.
Selain daripada itu, model Samsung Smart TV 2018 turut akan menerima sokongan lebih kurang sama melalui kemaskini perisian dalam beberapa bulan lagi.
Dengan kerjasama ini, pengguna Samsung boleh mengakses kandungan filem dan rancangan TV daripada iTunes melalui televisyen pintar Samsung mereka. Selain daripada itu, dengan sokongan AirPlay 2, pengguna televisyen Samsung ini turut boleh memainkan kandungan daripada MacBook atau iPhone terus ke televisyen Samsung dengan mudah.
Samsung turut mengatakan pengguna boleh mengawal pelbagai perkara, termasuk iTunes pada televisyen pintar mereka dengan Bixby – pembantu maya daripada Samsung yang diintegrasikan pada televisyen dan peranti Samsung.