Peranti Samsung dengan skrin boleh lipat dijangkakan akan hadir pada tahun ini. Tahun lepas, Samsung telah pun memperlihatkan bagaimana peranti ini berfungsi. Terkini, Samsung dilihat telah mempatenkan peranti dwi-skrin baru yang mana skrinnya boleh ditanggalkan.
Menurut fail yang dipatenkan, peranti ini menggunakan sistem magnetik pada engsel skrin. Ia boleh ditanggalkan, dipasang secara terbalik atau dijadikan sebagai peranti boleh luncur. Butiran dari fail paten ini turut menyatakan ini adalah peranti Samsung multi-fungsi, contohnya – jika dipasang secara sebelah-menyebelah ia akan memberi pengalaman penggunaan skrin yang besar, jika di pasang secara peranti boleh luncur – skrin kedua akan jadi papan kekunci dan banyak lagi bentuk penggunaan lain.
Buat masa ini, tidak dinafikan Samsung lebih fokus kepada peranti boleh lipat seperti yang diperlihatkan sebelum ini kerana mereka sasarkan untuk perkenalkan peranti tersebut tahun ini. Peranti yang dipatenkan ini mungkin akan hadir dalam masa akan datang atau mungkin hanya idea dan akan terkubur dalam arkib paten.