Telekom Malaysia telah pun sedia menurunkan harga langganan untuk Unifi pada tahun lepas, membolehkan pengguna biasa melanggan pakej 100Mbps pada harga RM129 sebulan. Walaubagaimanapun, agak mendukacitakan kerana pakej OKU untuk Unifi masih disenaraikan pada harga lama sehingga kini.
Daripada laman rasmi Unifi, pakej Unifi PEK OKU disenaraikan pada harga bermula RM119 sebulan untuk 10Mbps, dan mencapai 100Mbps pada harga RM309 sebulan. Pakej Unifi PEK OKU ini juga seperti tidak menyertakan panggilan percuma dan juga Unifi TV.
Ini boleh dikatakan agak mahal sekiranya dibandingkan dengan pakej biasa – iaitu 30Mbps pada harga RM79 sebulan, dan 100Mbps pada harga RM129 sebulan.
Melalui panggilan kami kepada pusat khidmat pelanggan TM, mereka mengatakan sebelum ini pengguna boleh menerima diskaun sehingga RM20 untuk PEK OKU. Menurut wakil yang menjawab panggilan kami, mereka mengalakkan pengguna untuk melanggan pakej 100Mbps untuk RM129 sebulan dan tiada diskaun tambahan yang diketahui mereka buat masa ini.
Apa pun, bagi anda yang ingin melanggan PEK OKU, anda digalakkan ke TM Point berhampiran untuk menyemak dan mendapatkan promosi yang sesuai untuk anda. Mungkin juga pihak TM terlupa mengemaskini info pada laman web dan memaklumkan pihak khidmat pelanggan mereka berkenaan dengannya. Berbeza dengan Unifi PEK OKU, pakej untuk Streamyx (atau dipanggil Broadband), ia disenaraikan pada harga diskaun, membolehkan anda melanggan pada harga RM66 sebulan untuk 1Mbps.