Cari @ Amanz

Tenaga Nasional sebelum ini telah pun membuat ujian rintis penggunaan infrastruktur mereka untuk tujuan perkhidmatan internet di Jasin. Hari ini, pihak kerajaan bersama-sama Tenaga Nasional mengumumkan penawaran projek rintis ini dengan lebih meluas di Jasin, Melaka dan membolehkan penduduk Jasin untuk mendaftar pakej internet daripada sejumlah penyedia perkhidmatan.

Untuk makluman, infrastruktur jalur-lebar Tenaga Nasional telah pun tersedia dan digunakan oleh TNB untuk memantau talian kuasa mereka. Memandangkan ia tidak digunakan pada kapasiti penuh, maka infrastruktur jalur-lebar berkenaan turut boleh digunakan untuk menawarkan perkhidmatan internet kepada pengguna.

TNB NCP

Melalui infrastruktur jalur-lebar TNB ini, pengguna boleh menikmati kelajuan sehingga 1Gbps pada harga berpatutan. TNB mengatakan akses ini boleh dinikmati di lebih 1,100 kediaman di Jasin, Melaka. Jasin dikatakan dipilih disebabkan oleh beberapa perkara, termasuk kerana berada di kawasan zon pinggir bandar serta penempatan yang pelbagai – sekaligus membolehkan TNB menguji pelbagai senario berbeza dalam membuat keputusan lanjut mengenainya.

Pihak TNB masih tidak mengumumkan sebarang perancangan lanjut untuk menguji ia dikawasan lain buat masa ini. TNB akan melihat penggunaan infrastruktur mereka di Jasin ini, sebelum membuat kajian dan keputusan untuk memperluaskannya ataupun sebaliknya.

Bersama-sama pengumuman hari ini, TNB turut memperlihatkan yang mana pelbagai syarikat telekomunikasi menggunakan infrastruktur mereka dalam menawarkan perkhidmatan kepada pelanggan – termasuk daripada TIME, TM, Celcom, Maxis, Digi dan City Broadband.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd