Cari @ Amanz

Acara CES adalah acara yang mempamerkan pelbagai barangan elektronik, termasuk gajet-gajet dan teknologi baru. Tahun ini Anker turut sertai acara CES 2019 dan telah memperlihatkan tiga produk baru yang menarik.

Produk pertama adalah pengecas Power Delivery atau lebih dikenali sebagai USB-PD. PowerPort Atom PD 1 adalah pengecas pantas USB-PD terbaru daripada Anker. Anker menggunakan komponen Gallium Nitride sebagai bahan untuk memuatkan segalanya dalam satu pakej. PowerPort Atom PD 1 adalah pengecas pantas dengan kuasa 30W. Melalui pengecas ini, pengguna boleh mengecas peranti seperti iPhone 8/8 Plus/X/XS/XS Max/XR, Nintendo Switch, model-model MacBook terkini, atau banyak Google Pixel. Anker menjual pengecas ini dengan tanda harga hanya $29.99 (~RM123) sahaja.

Produk kedua adalah projektor dengan Android TV terbina. Projektor baru Anker ini adalah Nebula Prizm II Pro. Menariknya, projektor ini menjalankan Android TV yang terkini iaitu berasaskan Android 9.0 Pie. Ia tidaklah sehebat projektor LED Xiaomi baru-baru ini, kerana hanya mempunyai resolusi pancaran 1080p dan kecerahan 200 ANSI sahaja. Tetapi dengan projektor seperti ini, televisyen tidak diperlukan dan ia memudahkan pengguna menikmati pelbagai kandungan hiburan. Anker belum lagi umumkan harganya, tetapi model sebelum ini – Nebula Prizm II yang tiada sistem operasi dijual dengan tanda harga $269.99 (~RM1111), jadi tidak dinafikan jika harganya adalah sedikit lebih mahal.

Anker turut melancarkan Soundcore Wakey sebagai produk ketiga. Ia adalah sejenis penggera dengan radio FM terbina, enam pratetap hingar putih (white noise), pembesar suyara dengan dwi-driver 5W serta pengecas nirwayar 7.5W/10W terbina pada bahagian atas. Menariknya, ia mempunyai rekaan yang cantik, elegan dan ringkas. Menurut Anker, ia akan dijual pada penghujung musim bunga dengan tanda harga $99.99 (~RM411).

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd